Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah meminta hampir 19,000 kandungan yang melanggar undang-undang negara diturunkan daripada pelbagai platform media sosial sejak awal bulan ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kandungan judi dan penipuan dalam talian paling tinggi dengan jumlah 84 peratus daripada 18,785 keseluruhan kandungan yang diminta diturunkan daripada platform digital dalam tempoh tiga minggu tahun ini.
"18,785 kandungan yang diminta diturunkan merangkumi 67 peratus di Facebook, 18 peratus TikTok, 13 peratus YouTube dan lain-lain.
"Bagi kategori kandungan pula, perjudian dan scam sebanyak 84 peratus, buli siber lima peratus dan empat peratus ialah iklan produk perubatan yang tidak dibenarkan," katanya dipetik selepas melancarkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Pengkalan Chepa hari ini.
Fahmi berkata kerajaan mendapati platform media sosial terbabit masih membenarkan aktiviti penipuan dan perjudian meskipun kerajaan telah memberikan kerjasama yang baik.
Katanya, kandungan itu juga dipapar menggunakan bahasa Melayu dan menyasarkan pelanggan dalam kalangan rakyat negara ini.
"Mereka mengajar pengguna bagaimana bermain judi dan perkara ini berlaku sama juga di Facebook, TikTok malah YouTube.
"Kandungan judi dan scam masih tinggi walaupun kerajaan dah bekerjasama dengan baik, platform-platform masih membenarkan aktiviti jenayah ini berlaku," katanya.
Justeru katanya setelah kerajaan menguatkuasakan peraturan pelesenan platform media sosial bermula 1 Januari ini, syarikat operator perlu mengenakan sekatan terhadap kandungan tertentu di platform mereka.
Selain itu, katanya pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta perundangan baharu Akta Keselamatan Dalam Talian turut dikuatkuasakan.
Dalam pada itu, kata Fahmi, rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan jumlah kes jenayah dalam talian pada tahun lepas meningkat sebanyak 35,368 melibatkan kerugian berjumlah RM1.5 bilion berbanding 34,495 kes pada 2023 dengan kerugian RM1.22 bilion.
"Pada akhir tahun lalu, PDRM dengan kerjasama SKMM telah melaksanakan Ops Pedo Bersepadu yang membawa kepada penangkapan seramai 13 suspek di enam negeri dan melibatkan rampasan lebih 40,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak," katanya.
Comments