Oleh: Abdullah Zaid
Perkembangan dunia media sosial tanpa batas sememangnya perlukan langkah pengawalan terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Kebimbangan itu disuarakan Pengarah Aduan dan Kemasyarakatan KEADILAN Malaysia, Siti Aishah Shaik Ismail. Katanya, pihak berkuasa perlu melakukan langkah pengawalan ke atas kanak kanak bagi mengelakkan risiko penyalahgunaan maklumat dan masalah moral terjadi kepada golongan itu sekiranya mempunyai akaun media sosial pada peringkat usia terlalu muda.
Ketidak matangan dalam mempertimbangkan baik dan buruk pula, kata Aishah, akan memberi kesan kepada psikologi kanak kanak dalam tempoh pembesaran mereka.
"Rata-rata rakyat melihat isu ini berdasarkan kepada perkara-perkara umum yang melibatkan mereka dan kehidupan.
"Isu bagaimana persekitaran tumbesan anak-anak yang dilihat menjadi ancaman moral kepada kita hari ini mungkin menjadi asbab ketakutan ini berlaku.
"Penggunaan media sosial sudah tidak seimbang dalam soal asas, iaitu penyampaian maklumat yang semakin pudar tetapi dipenuhi pula oleh tangkap-tangkap layar yang bersifat tidak rasional. Ini perlu pengawalan daripada pihak penggubal dasar," katanya ketika dihubungi.
Jelas Aishah, langkah pencegahan daripada menggunakan media sosial penting bagi mengelakkan kanak kanak terpengaruh kepada hantaran yang tidak sesuai pada peringkat umur mereka.
"Langkah ini penting bagi meningkatkan keselamatan dan kesedaran rakyat untuk membina masa depan negara yang lebih baik," katanya lagi.
Kelmarin, kajian penyelidikan pasaran global, Ipsos melaporkan tujuh daripada 10 rakyat Malaysia mahu penggunaan media sosial diharamkan bagi kanak-kanak berumur di bawah 14 tahun.
Kaji selidik bertajuk 'Malaysians' opinions on technology in education' itu mendedahkan bahawa responden rakyat Malaysia yang mahukan langkah pencegahan adalah kedua tertinggi selepas Indonesia.
Menurut laporan, ramai rakyat Malaysia percaya, guru, sekolah dan ibu bapa perlu mengajar celik digital dan topik keselamatan dalam talian kepada kanak-kanak dan remaja.
Kajian yang bermula pada dari 21 Jun hingga 5 Julai 2024 itu melibatkan 23,754 orang dewasa di bawah umur 75 tahun dengan menggunakan kaedah temu bual dalam talian.
Comentarios