Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan pelancaran Program Mangkin Malaysia Digital (Pemangkin) hari ini akan memperkukuhkan peranannya sebagai sebagai peneroka ekonomi digital negara.
Hal itu ditegaskan oleh Pengerusi Bukan Eksekutif MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh dalam majlis pelancaran Pemangkin pagi ini.
"MDEC ada tugas besar untuk dimainkan. MDEC mesti meneruskan peranan sebagai pemimpin dan peneroka, mengemudi pembangunan ini ke hadapan.
"Melihat pembangunan dalam beberapa tahun lalu, ekonomi digotal dijangka menyumbang 25.5% KDNK Malaysia.
"Dalam 10 tahun, perkembangan positif dalam digital ekonomi telah menghasilkan hampir 200,000 peluang pekerjaan dan 300 syarikat MSC yang aktif," katanya di Nexus Bangsar South.
Mengingatkan hadirin bahawa Digital Native Agenda (DNA23) pernah dilancarkan oleh Perdana Menteri sekarang untuk membasmi kemiskinan rakyat luar bandar pada ketika beliau menjadi PM menanti pada 2019, maka waktu ini adalah masa sesuai untuk agenda tersebut direalisasikan dengan sebaik baiknya.
"Pada 2019 Datuk Seri Anwar melontarkan Digital Native Agenda, wawasan untuk bagaimana ekonomi digital seharusnya memberi impak yang signifikan kepada negara.
"Hari ini wawasan itu diterjemahkan di bawah Menteri Komunikasi dan Digital.
"Untuk itu pengumuman program Pemangkin adalah pada masa yang tepat," katanya.
Ahli Parlimen Ledang itu juga berkata, aspek digital hari ini sangat penting dalam menggerakkan sektor perdagangan, pelancongan, pertanian dan penjagaan kesihatan
Aspek digital juga katanya boleh menjayakan konsep negara Madani yang diperkenalkan oleh PM.
"Ini adalah sektor kritikal dan mengesankan ekonomi secara am dan memberi kesan (besar) kepada rakyat dan negara
"Di atas semua itu, dipimpin oleh gagasan Madani menerusi inovasi, menerusi strategi kerjasama sektor swasta dan sokongan MDEC saya yakin program Pemangkin yang diumumkan ini boleh berjaya," katanya lagi.
Kommentare