top of page

MCMC diarah siasat pengacara radio hina agama lain, panggil pengurusan Astro



Kementerian Komunikasi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) melakukan siasatan terperinci mengenai aduan kakitangan stesen radio milik Astro mempersenda upacara agama lain yang dimuat naik dalam platform media sosial pagi ini.


Menterinya Fahmi Fadzil berkata, MCMC perlu memanggil Astro dan pengurusan stesen radio Era FM hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu bagi memberikan penjelasan penuh.


"Kami sudah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio milik Astro mempersenda upacara agama lain yang dimuat naik dalam platform media sosial pagi tadi.


"Jadi, saya arahkan MCMC menjalankan siasatan terperinci termasuk memanggil pihak Astro dan pengurusan stesen radio itu hadir memberi penjelasan lanjut di ibu pejabat MCMC," katanya dalam kenyataan hari ini.


Fahmi berkata, langkah memanggil mereka memberi penjelasan itu bertujuan memastikan tindakan yang boleh diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.


Terdahulu laporan media menyebut penyampai radio 3 Pagi Era memohon maaf di atas video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.


Video yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen itu, memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut 'Vel Vel' disusuli gelak tawa.


Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana ia penghinaan kepada tradisi Hindu.


Dalam hantaran di akaun Instagram Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani memohon maaf atas video berkenaan dan mengakui ia tidak sensitif terutama kepada kaum India.


Susulan itu, Astro Audio bertindak menggantung tiga penyampai Era FM itu sehingga siasatan selesai.


"Kami memandang serius perkara ini dan selepas pertimbangan yang teliti, kami memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu tersebut dari ke udara sehingga diberitahu kelak, sementara kami menjalankan siasatan dalaman ke atas insiden ini," katanya.


Dalam perkembangan sama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam kenyataan mengingatkan semua pihak supaya menjaga sensitiviti keagamaan dalam setiap tindakan dan pertuturan.


Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata sikap memperlekeh atau mempersendakan amalan keagamaan pihak lain bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam malah ia boleh mencetuskan ketegangan dan merosakkan keharmonian masyarakat.


"JAKIM ingin menegaskan, setiap agama perlu dihormati dan tidak boleh dijadikan bahan ejekan atau persendaan dalam apa jua bentuk, sama ada secara lisan, tulisan, perbuatan mahupun di platform media social," katanya.


Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang pula berkata tindakan itu jelas bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang menjadi asas negara, selain semua pihak sepatutnya menjaga dan menghormati sensitiviti agama serta budaya di Malaysia.


"Sebagai sebuah negara majmuk, kita harus memupuk semangat saling menghormati antara satu sama lain, tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.


"Sebarang perbuatan menyinggung perasaan penganut agama lain tidak sepatutnya diterima dalam masyarakat kita yang berbilang kaum," katanya dalam kenyataan.

コメント


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page