top of page

MB Samsuri tidak bijak urus negeri, hanya bergantung royalti - AMANAH T'ganu



Oleh: Akmal Manaf


Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu mengecam Menteri Besar (MB) Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang berterusan menuntut hak royalti petroleum bagi menampung perbelanjaan Kerajaan Negeri.


Pengarah Komunikasinya, Muammar Qaddafi Mohd Nasir menyifatkan Naib Presiden Pas itu cuba untuk menyembunyikan kelemahan pentadbiran beliau dengan meletakkan bebanan kewangan negeri kepada Kementerian Kewangan (MOF) Malaysia.


Katanya, ketidakupayaan Dr Samsuri meningkatkan hasil negeri meletakkan beliau dalam keadaan terdesak dan tidak mempunyai kaedah lain selain 'menuntut hak royalti Terengganu'.


Sedangkan, katanya, royalti petroleum berdasarkan undang undang negara tidak layak diterima kerana carigali dilakukan di luar tiga batu nautika daripada garis pantai Terengganu.


"Ahmad Samsuri dan Pas khususnya perlu malu dengan tuntutan tuntutan yang dibuat ini. Pengalaman (Pas) sebagai pentadbir di peringkat Persekutuan selama 33 bulan sepatutnya mendidik mereka menjadi lebih bijaksana dengan tahu membezakan antara hak dan ehsan.


"Malangnya, mereka terus kekal dengan politik membebalkan masyarakat dengan membelakangi fakta dan akta yang ada," tempelak beliau menerusi satu kenyataan.


Menurut Qaddafi lagi, tuntutan terhadap 'hak royalti minyak' Terengganu, amat janggal dengan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian 1975.


Katanya, selama ini Terengganu hanya menerima wang ehsan daripada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan membantu rakyat negeri tersebut.


"Pemberian wang kepada Terengganu adalah ehsan dari Perdana Menteri dan sama ada ia ditermakan sebagai royalti atau wang ehsan, kedua-duanya adalah ehsan Perdana Menteri kerana minyak yang dijumpai di luar tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri.


"Royalti atau wang ehsan atau Wang Tunai Petroleum hanyalah istilah yang digunakan dan tidak boleh menafikan kedudukan sebenar wang terbabit sebagai 'Wang Ehsan' kepada Terengganu.


"Perkara tersebut disahkan sendiri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan sewaktu Perikatan Nasional (PN) mentadbir dan Pas sebahagian dari Kerajaan Persekutuan.


"Tengku Zafrul menegaskan di Dewan Rakyat bahawa Petronas tidak akan membayar royalti kepada mana-mana negeri di Semenanjung kerana kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri masing-masing," ujarnya.


Justeru kata Qaddafi, Kerajaan Terengganu perlu menerima hakikat bahawa kawasan penemuan minyak itu bukan milik mereka dan mereka gagal untuk menjadikan ia 'hak' Terengganu sedangkan ketika Pas bersama Kerajaan Persekutuan (2020 - 2022), Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah dari Pas


Pas, katanya, tidak pernah membawa usul ke atas Akta Wilayah Laut 2012 sama ada dimansuhkan atau ditambah keluasan batu nautika untuk perolehan royalti.


"Sekurang-kurangnya pada 2009, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berusaha untuk meminda Akta Petroleum Negara. Seksyen 10 Akta ibu dipinda dengan memotong tanda noktah pada penghujung seksyen tersebut dan memasukkan perkataan-perkataan berikut:


"Dan perkataan ‘di luar pantai’ bermaksud sebahagian kawasan di tengah laut terbuka di luar pesisir pantai yang berada di dalam had Zon Ekonomi Ekslusif bagi Persekutuan dan diukur menurut undang-undang yang diterima pakai oleh Persekutuan pada masa berkaitan”.


"Walaupun usaha ini gagal ketika itu, namun memperlihatkan usaha beliau ketika itu untuk nasib negeri di bawah pentadbiran Pas, namun usaha berkenaan langsung tidak pernah dilakukan oleh pemimpin dari parti Pas itu sendiri," katanya lagi.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page