top of page

MB Kedah mohon ampun kepada Sultan Selangor



Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor sekali lagi memohon ampun kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas kenyataannya pada Julai tahun lalu yang dianggap menghina serta tidak menghormati baginda.


Sebelum ini, Menteri Besar Kedah itu telah menyatakan permohonan maaf kepada kepada Sultan Selangor pada 14 Julai tahun lalu.


Muhammad Sanusi turut merakamkan permohonan maaf kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari serta seluruh rakyat Selangor, demikian menurut kenyataan beliau hari ini.


"Dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, di atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara dalam Daerah Gombak, Selangor sepertimana yang telah dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati DYMM Tuanku.


"Patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan patik tersebut. Patik ingin menyembah maklum kepada DYMM Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan DYMM Tuanku yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini," kata kenyataan itu.


Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah membacakan kenyataan itu pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.


Muhammad Sanusi menyatakan beliau menyedari bahawa kata-katanya telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Sultan Selangor.


"Patik sedar apabila patik hadir ke negeri orang khususnya berkaitan kes patik ini apabila berada di Selangor, patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan sepertimana yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya.


"Oleh itu, dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, patik memohon beribu keampunan kepada DYMM Tuanku dan Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-kata patik," katanya.


Tambah Muhammad Sanusi, beliau berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dengan memastikan bahawa setiap ucapannya selaras dengan adab sopan budaya Melayu yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja.


Pada Julai tahun lalu, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Sultan Selangor.


Menerusi video tular dipercayai ketika menyampaikan ceramah, Mohamad Sanusi juga turut didakwa meremehkan pelantikan Amirudin sebagai Menteri Besar.


Susulan itu, beliau telah mengutus surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan konteks sebenar ucapannya yang didakwa diputar belit.


Muhammad Sanusi berkata Pegawai Istana Selangor memaklumkan kepadanya bahawa Sultan Selangor memberi perkenan untuk menerima dan membaca surat berkenaan pada Jumaat.


Ekoran kenyataan didakwa menghina itu, Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang pada 18 Julai tahun lalu atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik yang mana beliau mengaku tidak bersalah.


Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan.


Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, pada jam 11 malam 11 Julai 2023.


Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page