MB Kedah mahu bisukan Menteri selepas projek loji air selesai?
- Suara Keadilan
- Apr 9
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Keyakinan Kerajaan Kedah bahawa masalah bekalan air yang melanda negeri itu akan dapat diselesaikan setelah projek naik taraf lima loji rawatan air (LRA) siap sepenuhnya pada tahun depan, menerima reaksi 'kagum' daripada Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Susulan pengumuman tersebut, Timbalan Menteri Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) itu mempersoalkan adakah beliau tidak perlu datang lagi ke negeri jelapang padi itu untuk memantau masalah bekalan air di sana.
''Fuh, orang Kedah mesti 'lega' dengar pengumuman terbaru YAB Menteri Besar mereka.
''Selepas tahun 2023, dianjak ke tahun 2025 dan semalam ditunda lagi pada tahun depan lima loji rawatan air tak siap-siap!
''Adakah ini bermakna saya akan 'dibisukan' oleh beliau dan team PETRA tak perlu turun lagi ke Kedah?,'' soal Akmal menerusi satu kenyataan di laman sosial miliknya.

Kelmarin, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) menzahirkan keyakinan masalah bekalan air di negeri itu dapat diselesaikan pada tahun depan.
''InsyaAllah, 2025 dan 2026 sebahagian besar iaitu empat daripada LRA kita akan siap.
''Pada masa itu saya berharap mereka yang sedang mencerca kita pada waktu ini jadi bisu. Bisu… mereka tak ada apa nak cakap. Sementara mereka boleh cakap, cakaplah. Mereka akan dibisukan setahun dua lagi,'' katanya dipetik.
Projek menaik taraf lima LRA itu membabitkan LRA Pelubang, Jenun Baru, Sungai Limau, Bukit Selambau dan Lubuk Buntar.
PETRA sebelum ini menegur kelembapan kontraktor diselia Kerajaan Negeri dalam menyiapkan projek LRA, sedangkan negeri lain turut mengalami masalah penangguhan operasi projek pada waktu pandemik Covid 19, namun mampu menyiapkannya selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berakhir.
Malangnya ahli politik Pas Kedah menganggap hal itu sebagai campur tangan dalam pengurusan air negeri, walaupun mereka sedar peruntukan membina LRA tersebut datangnya dari Persekutuan dan PETRA mempunyai asas untuk menegur kelemahan Kerajaan Negeri.
Comentários