Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan pimpinannya mahu menamatkan pertikaian berpanjangan membabitkan kemasukan ke pusat pengajian matrikulasi dengan memberikan jaminan bahawa semua pelajar cemerlang akan dipastikan diberikan tempat.
Perdana Menteri (PM) berkata sistem pengambilan membabitkan kuota Bumiputera tetap terus dikekalkan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan namun sistem meritokrasi turut dipertahankan demi memastikan keadilan kepada semua pihak.
"Kita ambil jalan yang kita anggap adil dan munasabah, kalau dia (pelajar) itu rakyat dan warga kita, kita harus pelihara tapi kita juga terima kenyataan mengenai meritokrasi, jadi tanpa mengira kaum dan wilayah, dapat 10A (dalam Sijil Pelajaran Malaysia), kita beri jaminan tempat di matrikulasi dan asasi.
"Kuota Bumiputera tetap dikekalkan kerana ini keputusan yang sudah lama berkait dengan Perlembagaan, jaminan masa depan bumiputera (dan) Melayu supaya tidak berlaku kesenjangan, jadi penjawat awam harus faham, meritokrasi kita pertahankan, tapi keadilan juga kita pertahankan," kata beliau ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.
Semalam, Anwar mengumumkan semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian pada peringkat matrikulasi bermula tahun ini. Ia merupakan keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lepas.
Perdana Menteri berkata setiap kali timbul isu kuota ia menjadi keterlaluan apabila terdapat satu pihak cuba menafikan hak minoriti dan satu lagi pertikai Perlembagaan serta menafikan pihak satu lagi yang mempunyai kedudukan lebih rendah kerana kekurangan kemudahan di desa dan menghadapi masalah kemiskinan bandar.
"Jadi reda sedikit suhu ketegangan hampir tiap tahun dihadapi Kementerian Pendidikan (KPM), kadang-kadang benturan itu menghangatkan suhu politik dan akibatkan ketegangan kaum dan sosial, mudah-mudahan pengumuman itu dapat membantu kerana kita iktiraf siapa saja catat 10A kita beri laluan," katanya.
Jelas Anwar, kuota harus dikekalkan kerana ia merupakan satu dasar yang sudah lama dilaksana yang dikaitkan dengan prinsip Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai jaminan masa depan Melayu dan Bumiputera supaya jangan berlaku kesenjangan.
Katanya, dasar meritokrasi akan terus dipertahankan dan dalam masa sama, keadilan dan kesaksamaan akan dikekalkan.
"Sesetengah elit bicara soal merit, ya betul tapi merit ini mengikut prinsip 'Justice as Fairness' (2001)," katanya memetik pandangan ahli falsafah John Rawls selain kritikan seorang lagi penulis, Micheal J. Sandel mengenai meritokrasi dalam karyanya 'The Tyranny of Merit' (2020).
"Minta sekolah di Manek Urai, Kelantan bersaing dengan Kolej Melayu (Kuala Kangsa) atau Sekolah Chung Ling, Pulau Pinang dengan segala prasarana siap di bandar dan sekolah terbaik minta bersaing dengan sekolah di Kapit, Sarawak, sudah tentu itu bukan satu keadilan...
"Kalau tekankan merit sahaja orang yang marginal, miskin akan kekal dalam keadaan sedemikian," ujarnya.
Justeru itu, Anwar mahu konsep meritokrasi tidak dijadikan sebagai ideologi yang terlalu ketat kerana 'orang besar' dari sekolah terbaik mampu mempertahankan golongan elit di atas dan mereka pintar menulis bagi menyuarakan pandangan mereka.
"(Sebaliknya) apa akan jadi kepada rakyat terpinggir, kita Kerajaan Madani harus lebih prihatin, mahu negara maju bermakna pertahankan meritokrasi tetapi jangan pinggirkan yang miskin dan terpinggir, saya tidak mahu apologetik dalam pertahankan perkara ini dan dalam Kabinet saya jelaskan," katanya.
Opmerkingen