Oleh: Abdullah Zaid
Wanita KEADILAN diseru mengambil contoh perjuangan getir Ibu KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam memaknai perjuangan Reformasi.
Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek berkata, perjuangan wanita tidak hanya menjadi pelengkap organisasi bahkan juga memimpin di hadapan sebagai contoh inspirasi.
"Wanita adalah pembimbing paling setia, penenun cinta kepada para pejuang. la mengabadi dalam gelegak nadi. la bahkan menjadi api nyalaan obor yang tidak mati.
"Itulah yang telah dicontoh oleh Dr Wan Azizah sebagai wanita pertama yang tabah, setia menemani dan menyamai di barisan depan bersama Perdana Menteri kita hari ini," katanya dalam amanat khas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Wanita (MATWC) Cabang Johor Bharu, hari ini.
Amanat khas itu yang dibaca oleh Ketua Penerangan KEADILAN yang menjadi wakil mesyuarat tersebut.
Dalam pada itu, katanya, Wanita KEADILAN Pusat menyeru jentera wanita memperkukuhkan lagi organisasi parti.
“Kita bukan sahaja bertanggungjawab untuk memimpin hari ini, tetapi juga untuk mencipta generasi wanita berwawasan yang akan meneruskan perjuangan kita.
“Dalam konteks ini, pendidikan, latihan, dan pelbagai inisiatif menjadi kunci utama untuk kita terus mara ke hadapan,” ujarnya.
Menurut beliau, wanita KEADILAN perlu memanfaatkan inisiatif yang telah diwujudkan termasuk Sekolah Wanita (SWAN), Bakul Makanan Wanita (BMW), Asimilasi Struktur Asas Kepimpinan (ASAK), Program Penerangan Wanita Madani dan Kasih Keluarga Madani (KKM) dengan sepenuhnya.
"Kita akan terus komited untuk memastikan wanita diberikan ruang yang saksama dalam arena pembinaan peradaban (thaqafah), tidak terhad kepada fungsi-fungsi reproduktif sahaja.
"Wanita harus diberikan peranan dalam kerjaya produktif seperti pembuatan dasar, polisi, pengeluaran, pentadbiran dan eksekutif," ujarnya lagi.
Comentários