Oleh: Abdullah Zaid
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menggesa setiap masjid dan surau menyediakan prasarana lengkap bagi memudahkan golongan orang kelainan upaya (OKU) melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang muslim.
Menurutnya, keperluan kerohanian perlu diberikan keutamaan buat golongan OKU bagi membolehkan mereka memahami aspek ibadah dan al-Quran secara lebih mendalam.
Beliau berkata, aspek itu perlu diberi penekanan memandangkan golongan OKU memerlukan pembelaan dan pemberdayaan dalam pelbagai aspek.
"Justeru itu, Kerajaan MADANI menyediakan pelbagai insentif membantu dan memberdaya produktiviti golongan kurang upaya (OKU) melalui program-program pembangunan insan dan latihan," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menggubal Pelan Tindakan OKU Muslim pada Oktober 2023 bagi memastikan golongan itu mendapat kefahaman dan penghayatan yang baik tentang Islam.
Pelan tersebut dibangunkan bagi mendukung Pelan Tindakan OKU Kebangsaan dan Dasar OKU Negara yang sedia ada di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Mengulas lanjut, Zulkifli menyeru semua pihak menyokong dan bersolidariti bersama OKU dengan memberikan ruang dan peluang untuk mereka terlibat sebagai anggota masyarakat yang berperanan.
Katanya, Imam az-Zamakhsyari sendiri menulis naskah “Menghibur Duka Mereka yang Buta” (terjemahan karya “At-Tabsyir bitarjamah Tasliyat ad-Dharir”), khusus buat sahabat baiknya yang diuji dengan kebutaan. Buku ini turut diterbitkan oleh ABIM Press.
Commentaires