Masalah sawah: Kerajaan Negeri perlu lulus segera baiki pam Sg Kelantan
- Suara Keadilan
- Sep 23, 2024
- 2 min read

Kerajaan Negeri Kelantan perlu segera meluluskan pembaikan loweir atau baraj di Sungai Kelantan untuk mengatasi masalah pam yang mengepam air ke sawah kendalian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
Menurut aktivis Pakatan Harapan Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali atau Syam Ghaz, banyak pesawah tidak memahami hal sebenar sehingga menyalahkan pihak KADA, agensi Kerajaaan Persekutuan yang tidak membaiki pam untuk mengepam air ke sawah, menyebabkan mereka gagal mengusahakan padi musim ini.
"Majoriti pesawah tidak tahu yang KADA memang serius dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan segera RM20 juta untuk selesaikan masalah pam air di Kemubu.
"Projek itu lambat dan tersangkut apabila Kerajaan Negeri awalnya tak tidak setuju dan lambat buat keputusan sama ada nak baiki loweir/baraj sedia ada di Sg Kelantan atau tidak.
"Baraj/loweir itu telah lama dibina dan berfungsi meningkatkan paras air sungai untuk pam Kemubu berfungsi," katanya dalam catatan di Facebook.
Selain itu menurut Syam Ghaz, Kerajaan Negeri terikat dengan undang undang baharu yang diperkenalkan di bawah Enakmen Sumber Air Kelantan yang diuruskan oleh Jabatan Sumber Air Kelantan, agensi yang diwujudkan bawah Kerajaan Negeri tahun 2019.
Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri tetap perlu mengutamakan pesawah padi dalam hal membaiki pam berkenaan, bukannya pihak pihak lain seperti pengusaha pasir di sungai tersebut atau sebagainya.
"Situasi sekarang, apabila sekat sungai dengan baraj/loweir pasir tak turun bawah, habislah bisnes tauke pasir yang telah dapat konsesi darı Kerajaan Negeri," ujarnya.
Namun, kata Syam Ghaz masalah lebih buruk berlaku apabila lebih 44% padi mati di Kelantan pada musim lepas, bersamaan 40,000mt rosak daripada total 90,000mt keseluruhan. Hari ini, kata beliau, sudah masuk musim keempat pesawah tidak dapat menanam padi.
Oleh itu, Syam berharap pertemuan berberapa hari lepas antara Menteri Besar Kelantan, Pengerusi KADA Ustaz Muhammad Husain dan TKSU Kementerian Pertanian menemui titik temu yang baik dan menyediakan penyelesaian kepada masalah pam tersebut.
Comments