Masalah liputan telekomunikasi yang berlaku di dalam Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bukan salah kementeriannya, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini.
Selepas gesaan berseloroh Pemuda UMNO supaya beliau digantikan dengan pemimpin lain daripada UMNO ekoran isu itu, Fahmi berkata penyelesaian kepada masalah tersebut boleh dilakukan dengan meneliti bangunan itu.
"Dalam kes teknikal seperti ini, tidak perlu menukar Menteri Komunikasi, tetapi saya cadangkan berjumpa dengan Datuk Seri Irmohizam untuk meneliti masalah penyelesaian dalam bangunan," katanya merujuk kepada Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL Datuk Seri Irmohizam Ibrahim yang juga anggota UMNO.
Bercakap kepada pemberita selepas program sambutan Bulan Kebangsaan di Kuala Lumpur, beliau berkata bahawa pasukannya telah memastikan isu liputan 5G diselesaikan.
Tambah Fahmi, Malaysia bukan sahaja telah melepasi sasaran 80% liputan rangkaian dalam kalangan penduduk tetapi juga dari segi penggunaan.
"Sehingga 7 Julai, saya difahamkan hampir 84 peratus pengguna perkhidmatan telefon mudah alih di Malaysia menggunakan 5G. Ini satu pencapaian yang baik," katanya dipetik Bernama.
Pada Sabtu lalu, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh secara berseloroh mencadangkan kepada presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya Menteri Komunikasi digantikan dengan pemimpin lain dari UMNO.
Komen itu dibuat semasa Perhimpunan Agung Umno 2024 selepas perwakilan mengadu mengalami kesukaran menggunakan aplikasi media sosial mereka semasa berada di Dewan Merdeka WTCKL.
Comments