Peralihan negara ke arah industri bernilai lebih tinggi menjadikan masa terbaik untuk bakat mahir dalam bidang teknologi pulang ke Malaysia.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata, Malaysia sedang meningkatkan rantaian nilai merentasi pelbagai industri dan kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk mewujudkan ekosistem yang lebih baik untuk profesional teknologi di negara ini.
"Kita memerlukan ramai pekerja mahir untuk membantu melakukan transformasi, jadi saya fikir ini adalah masa terbaik untuk bakat-bakat mahir Malaysia untuk kembali," katanya dipetik.
Beliau ditemui pemberita di luar Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025 disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur Convention Center pada Khamis.
Terdahulu, ketika sesi bertajuk ‘Technology: Breaking Out’, Chang menekankan kepentingan menarik balik bakat teknologi global ke Malaysia walaupun mengakui bahawa tidak mungkin mengharapkan semua profesional Malaysia untuk pulang.
Sehubungan itu beliau menekankan keperluan untuk memudahkan pemulangan bakat-bakat mahir teknologi Malaysia, termasuk memudahkan rentas sempadan bagi mereka yang mempunyai pasangan asing.
"Kita perlu lebih pantas dan fleksibel. Kita tidak boleh ada terlalu banyak sekatan dan perlu membantu bakat kita, terutamanya jika mereka mempunyai pasangan asing," katanya.
Dalam pada itu Malaysia tegasnya mesti memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global dan tidak lagi boleh kekal di peringkat bawahan yang bergantung kepada buruh murah atau industri intensif buruh.
Comments