
Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan Selangor terus komited untuk memartabatkan wanita dengan menangani diskriminasi terhadap golongan berkenaan.
Perkara tersebut disuarakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam ucaptama sempena Konvensyen Wanita MyWIRA 2025 yang diadakan di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, semalam.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga sedang berjuang melakukan 'satu perjalanan' ke arah memastikan usaha untuk memartabatkan kedudukan wanita dalam arus perdana atau kehidupan masyarakat supaya keluar daripada tipikal atau stigma tertentu.
Katanya, dalam ucapan perasmiannya di majis Wanita Berdaya Selangor (WBS) kira-kira empat tahun lalu beliau ada menekankan perumpamaan yang digunakan dalam sukan bola sepak iaitu 'kick out for racism'. Iaitu satu frasa yang digunakan bagi menentang sebarang elemen perkauman dalam sukan itu.
Bagaimanapun, dalam konteks memperkasakan golongan wanita di negara ini, Amirudin membayangkan perumpamaan 'kick out' digunakan bagi memberi gambaran bahawa masyarakat menolak sebarang bentuk diskriminasi gender.
''Saya peminat bola sepak dalam dan luar negara. Selalunya dalam bola sepak, ada disebut tentang 'kick out for racism' hinggakan setiap elemen rasis dalam sukan itu akan dikutuk.
''Mana-mana pemain yang terkena kutukan rasis itu akan mendapat simpati yang lebih besar sehingga dunia bola sepak menjadikan rasisme sebagai satu dosa yang dianuti dan difahami semua pemain bola sepak.
''Seperti mana orang membenci 'kick out racism for football', kita juga berharap apabila sampai satu tahap yang matang di Malaysia dan harapan saya di Selangor (pula) kita boleh menolak sebarang diskriminasi gender pada masa depan,'' ujarnya.
Konvensyen tersebut dianjurkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan kerjasama WBS antaranya bertujuan memperkasa sokongan terhadap penyertaan wanita dalam tenaga kerja, termasuk mereka yang kembali bekerjaya dan graduan baharu.
Turut hadir adalah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari.
Comments