top of page

Martabatkan syarikat domestik, beri insentif setimpal untuk berkembang



Oleh: Akmal Manaf


Malaysia harus mengambil peranan yang lebih aktif dalam memartabatkan syarikat-syarikat tempatan, selain usaha untuk mempertingkat dan memperkukuhkan kehadiran pelaburan langsung asing (FDI).


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, platform Kepengerusian ASEAN 2025 merupakan peluang terbaik dan sewajarnya penurunan seperti itu akan memberi kesan kepada usaha untuk menubuhkan dan mempertingkatkan sektor Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS).


''Justeru saya berharap pihak Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dapat membutirkan mengapa penurunan itu berlaku dan sebenarnya ia mungkin akan memberi kesan kepada usaha-usaha kita untuk membantu syarikat tempatan.


''Semasa kita memikirkan tentang pelaburan yang datang dalam negara, kita jangan lupa pula tentang pelaburan domestik.


''Pelaburan domestik memainkan peranan yang sangat penting dan kadangkala apabila kita lihat, peranan atau pun insentif yang diberikan kepada syarikat-syarikat FDI atau syarikat asing mempunyai jumlah yang lebih besar.


''Kadang-kadang pengecualian cukai yang lebih panjang dan ia tidak diberikan kepada syarikat-syarikat tempatan atau syarikat domestik yang berkemampuan atau yang terpilih,'' katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berharap agar dasar tersebut dapat diseimbangkan.


Mengambil contoh Jepun, Amirudin berkata, negara matahari terbit itu telah gagal mencatatkan pertumbuhan dalam negara.


''Tetapi syarikat-syarikat mereka yang bergerak di luar, memberikan hasil kepada pendapatan syarikat-syarikat mereka dan juga kepada warga yang bekerja di negara luar serta warga tempatan yang mungkin tidak bekerja secara langsung.


''Mungkin strategi seperti itu harus dilihat oleh MITI bagaimana untuk memperkukuhkan syarikat-syarikat berkenaan supaya menjadi syarikat multinasional dan kita tidak hanya bergantung kepada FDI untuk sama-sama melihat sama ada pelaburan meningkat atau menurun,'' ujarnya.


Dalam perbahasan sama, beliau turut menyentuh mengenai Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).


Katanya, sebelum ini kedua-dua perjanjian itu mempunyai beberapa verifikasi tentang pengecualian cukai yang bermanfaat.


''Justeru saya percaya perdagangan di peringkat BRICS nanti, kita juga harus bergerak ke arah tersebut dan mungkin ada pertindihan dengan CPTPP dan juga syarikat-syarikat di bawah RCEP.


''Saya juga percaya melalui dana yang agak besar menerusi pengukuhan perdagangan antarabangsa yang keseluruhannya berjumlah lebih RM197 juta, harus melihat kepada pelarasan perkara-perkara itu kerana kita harus menempatkan diri dalam persaingan global,'' katanya.


Menurut Amirudin lagi, sebagai contoh kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat akan memberi kesan kepada kadar tarif dengan syarikat-syarikat China.


''Kalau kita tidak meletakkan pelarasan kita sama ada yang ditandatangani dalam CPTPP, RCEP atau BRICS, mungkin kita akan terkesan dengan pengenaan tarif di saat kita sedang cuba meletakkan tarif yang lebih berkemampuan untuk syarikat kita pada hari ini dan masa depan,'' jelas beliau.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page