Dakwah bukan sahaja dilakukan secara ceramah atau tazkirah kerana Islam itu luas dan kaedah penyampaiannya juga pelbagai.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, dakwah boleh dilakukan melalui seni dan sastera sebagaimana yang dilaksanakan oleh kalangan sasterawan terdahulu yang menggunakan medium seni sastera sebagai daya penarik khalayak kepada agama.
Hal itu dinyatakan beliau selepas Majlis Malam Puisi Antologi Sirah Nabawiyah yang diadakan bersama Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) dan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur kelmarin.
"Satu ketika dahulu, ketinggian kesusasteraan Islami memainkan peranan penting untuk menzahirkan emosi dan menarik perhatian, selain mengangkat martabat peradaban Islam.
"Hari ini, ruang inilah yang perlu digunakan untuk melestari dakwah. Malam puisi ini akan mengingatkan masyarakat akan perjuangan Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa-sallam dan seterusnya diaplikasi dalam kehidupan seharian," katanya.
Program puisi tersebut bertujuan mengajak peserta dan masyarakat menghayati serta memperingati sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang diadakan sempena Program Dakwah Negara 2024 dan sambutan Maulidur Rasul.
Dr Zulkifli ketika merasmikan majlis itu mengucapkan tahniah di atas penganjuran program yang menurut beliau tepat pada waktunya.
Beliau juga mengambil kesempatan mendeklamasikan puisi nukilan sendiri berjudul ‘Agamawan’.
Dalam majlis itu juga dipersembahkan nasyid terbaru yang didendangkan Mirwana dan Zawfan bertajuk ‘Dunia Indah Bersama’.
Menurut Dr Zulkifli yang juga salah-seorang penulis lirik lagu berkenaan, ianya sesuai dijadikan tema kemanusiaan, perpaduan, kedamaian, dan persaudaraan.
Kata beliau, alunan dan susunan muzik serta liriknya bertepatan dengan aspirasi Malaysia Madani.
Lagu itu, katanya, cuba membawa pendengarnya memperkukuhkan tali persaudaraan akibat perbezaan dan pertembungan. Sifat toleransi dan saling memahami adalah penting penting untuk membina satu suasana masyarakat yang aman dan makmur.
Karya “Dunia Indah Bersama” itu akan diedarkan secara digital oleh SoofiMedia dan BelieveMusic. Ia boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify dan Apple Music mulai 1 November 2024 ini.
Selain Dr. Zulkifli, turut mendeklamasikan sajak adalah Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin, Timbalan Yang Dipertua YADIM, Profesor Madya Dr. Adi Anuar Azmin, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Haji Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamaed, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Ustaz Zamri Zainal Abidin, Sasterawan Negara, Datuk Dr Rahman Shaari dan beberapa lagi penggiat seni sastera terkemuka negara seperti Ahmad Fedtri Yahya dan Sani Sudin (Kopratasa).
Para pelajar Sekolah Seni Kuala Lumpur juga mengadakan persembahan dalam majlis ini. Lebih 300 peserta peserta terdiri daripada penggiat seni sastera, ahli akademik, pelajar dan orang ramai hadir ke majlis berkenaan.
Comments