Manifesto Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap yang dinamakan sebagai Iltizam PADU Cikgu Joohari boleh direalisasikan sekiranya pengundi DUN berkenaan memberi mandat kepada calon Pakatan Harapan esok hari.
Menurut Cikgu Joohari Ariffin, iltizam itu akan dilaksanakan kerana telah mendapat janji dari Kerajaan Negeri dan Persekutuan mengenai perkara perkara yang dibentangkan.
"Saya rasa ia memang realistik. Saya tidak rasa sebagai satu halangan besar disebabkan saya dah mendapat janji Kerajaan Negeri dan pusat yang mengatakan mereka akan bantu.
"Contoh masalah air, kita dah nampak perjuangan untuk memastikan rakyat mendapat air yang dirawat, selari dengan kehendak negeri dan Persekutuan.
"Cuma kita kena pastikan kerajaan kita bentuk nanti (di peringkat DUN) mesti selari dengan kehendak negeri dan Persekutuan," katanya dalam sesi tanya jawab sebelum ceramah grand finale di Sungai Bakap, malam ini.
Mengenai tohmahan bahawa Cikgu Joohari menggunakan gelaran PhDnya untuk berkempen beliau berkata ijazah doktor falsafah yang diperolehinya tulen dan perkhidmatannya sebagai guru atau pengarah sebelum ini bukanlah rekaan.
Namun beliau tidak bermegah megah dengan gelaran itu atau status dirinya sebelum ini.
"Saya dari awal lagi dah sebut kita tak patut serang peribadi. Kalau saya ada PhD itu betul betul punya PhD. Tetapi saya tak angkat diri saya lebih dari segi akademik. Saya tak pernah sebut.
"Pihak tertentu (yang menuduh) kena kenal sikit, (kata) saya orang kayangan, anak orang kaya. Masa saya jadi pengarah sekali pun, banyak masa saya di pejabat saya (bergaul) dengan pekerja anggota kumpulan pelaksana, bukan bos bos besar," katanya.
Justeru, Cikgu Joohari berharap pengundi Sungai Bakap esok hari keluar pagi pagi untuk mengundi dengan tekad mengembalikan DUN itu ke tangan Pakatan Harapan.
Kommentare