Mangsa kebakaran paip gas: Pertimbang cuti bergaji, aturan fleksibel - KESUMA
- Suara Keadilan
- Apr 3
- 1 min read

Majikan sektor swasta diseru mempertimbangkan pemberian cuti ihsan bergaji bagi suatu tempoh yang sesuai kepada pekerja yang terlibat dalam kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights, Puchong.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya juga berharap pihak majikan dapat memberi kelegaan kepada mangsa dengan meluluskan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) buat mereka.
"Pekerja yang terjejas dan tidak dapat hadir ke tempat kerja dalam tempoh pemulihan juga digalakkan memohon kepada majikan untuk Aturan Kerja Fleksibel (AKF).
"Kesuma menyeru agar majikan memberi pertimbangan yang baik dengan mengambil kira waktu kesulitan yang mereka sedang lalui dengan meluluskan permohonan pekerja terbabit bagi satu tempoh yang sesuai.
"Pertimbangan itu bagi meringankan beban pekerja mereka supaya dapat menguruskan hal berkaitan kerosakan dan kehilangan harta benda mereka," kata kementerian tersebut.
KESUMA menegaskan, AKF diperuntukkan di bawah seksyen 60P Akta Kerja 1955 dari aspek perubahan waktu kerja, hari bekerja atau tempat bekerja.
Sementara itu KESUMA menerusi kenyataan sama memaklumkan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah memulakan inisiatif membantu mangsa terjejas.
Agensi itu telah mengenal pasti mangsa yang merupakan pencarum untuk menerima faedah Skim Keilatan.
"Faedah itu kini sedang dalam proses menguruskan pembayaran.
"Mana- mana pencarum Perkeso yang terlibat dalam insiden ini boleh membuat semakan tuntutan di bawah skim perlindungan sosial Perkeso termasuk faedah hilang upaya sementara serta hilang upaya kekal, tertakluk kepada tahap kecederaan yang dialami," tambah kenyataan tersebut.
Comments