Mangsa kebakaran paip gas: JPN tawar gantian pengenalan diri percuma
- Suara Keadilan
- Apr 3
- 1 min read

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bakal membantu mangsa kebakaran kebocoran paip gas di Putra Height mendapatkan semula gantian kad pengenalan, sijil kelahiran, atau dokumen lain yang rosak atau musnah ekoran kejadian itu.
Menerusi satu kenyataan JPN memaklumkan bahawa pihaknya akan menempatkan Bas Mekar JPN di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights bagi urusan tersebut.
Bas tersebut akan memberi perkhidmatan penukaran dokumen berkaitan secara percuma kepada mangsa diantara jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang ini.
"Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengarahkan JPN untuk menggerakkan perkhidmatan Bas Mekar ke lokasi ini bagi meringankan beban mangsa yang tentunya menghadapi kesukaran untuk ke Pejabat JPN pada masa sekarang.
"Inisiatif ini turut bertujuan untuk memastikan mangsa kebakaran dapat memperoleh dokumen penting mereka dengan segera, sekaligus memudahkan sebarang urusan rasmi yang memerlukan dokumen tersebut kelak," kata kenyataan tersebut.
Media sebelum ini melaporkan kebanyakkan mangsa berada dalam keadaan sehelai sepinggang apabila melarikan diri daripada kejadian tersebut ekoran bahang api yang menjulang tinggi.
Beberapa kediaman mangsa berhampiran punca kebakaran turut dilapor musnah.
Sementara itu menerusi kenyataan sama JPN turut menyatakan komited untuk memberikan bantuan terbaik kepada masyarakat yang terjejas dan berharap usaha tersebut dapat membantu mangsa serta keluarga mereka dalam situasi yang mencabar ini.
Bagaimanapun menurut jabatan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan itu boleh menghubungi JPN di talian 03-8880 7077.
Comments