
Tahun Baharu Cina 2025 disambut secara bercampur campur di Sarawak, antara gembira di sebahagian kawasan dan diuji musibah banjir di kawasan lain.
Bagi Senator Abun Sui Anyit, banjir besar di sebahagian Sarawak kali ini disifatkannya sebagai luar biasa kerana banyak kawasan ditenggelami air.
"Warga Miri dikejutkan dengan perkhabaran sedih di mana 5 orang meninggal akibat tanah runtuh disebabkan hujan berterusan tanpa henti sejak beberapa hari lepas.
"Di Bintulu pula banjir besar melanda. Ahli keluarga saya seperti juga penduduk Bintulu, turut menjadi mangsa baik di Kampung Pisang dan Taman Jaya. Ada juga di Taman Bandar Jaya.

"Banjir kali ini luar biasa dan paling teruk," katanya dalam kenyataan.
Justeru, Abun berharap kerajaan pusat dan kerajaan Sarawak akan mengumumkan satu jumlah dana bantuan langsung kepada mangsa banjir untuk meringankan beban mereka yang kehilangan harta benda terutamanya di Bintulu.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang dapat turun membantu mangsa banjir.
"Yang tidak ada keupayaan membantu, boleh sama sama kita doakan yang terbaik dan perlindungan Tuhan untuk semua mangsa banjir dan pihak penyelamat seperti pasukan Bomba dan Pertahanan Awam serta sukerelawan yang membantu," katanya lagi.
Situasi banjir di Sarawak sejak semalam semakin memburuk dengan peningkatan jumlah mangsa yang dipindahkan ke 34 pusat pemindahan sementara (PPS) seramai 1,823 orang.
Difahamkan, situasi banjir yang melanda negeri itu adalah yang terburuk dalam sejarah susulan hujan berterusan di beberapa tempat termasuk Bintulu, Serian, Samarahan, Kuching, Miri dan Sibu.
Comments