Oleh: Noraini Nordin
(Sorotan Khas Misi Banjir Wanita KEADILAN #Skuad Ihsan Wanita KEADILAN - 7 Dis 2024 (Hari ke 2))
Tersenyum ceria Adila Anuar sewaktu menerima kehadiran kami di Taman Rakyat Jaya dan Kampung Pangkalan Jering, Kuala Dungun, Terengganu.
Walaupun baharu sahaja ditimpa musibah banjir Adila tetap ramah menyambut Skuad Ihsan Wanita KEADILAN sambil mendukung anak kecilnya.
Adila, 30 tahun berkata, banjir kali ini lebih besar daripada tahun sebelumnya.
Katanya, air memasuki rumah dengan cepat menyebabkan beliau serta keluarga tidak sempat menyelamatkan harta benda.
Akibatnya segala barangan keperluan harian serta perabot rosak.
Bersyukur keluarga selamat
Bagaimanapun Adila tetap bersyukur kerana anggota keluarganya selamat daripada bencana itu.
Jiran Adila, Norashikin Hitam, 43 tahun pula melahirkan rasa gembira kerana disantuni oleh Skuad Wanita KEADILAN yang membawa barangan bantuan untuk mereka.
"Perabot dan barangan harian kami musnah. Walaupun banjir sudah surut namun kerja pembersihan rumah masih belum selesai," kata ibu kepada lima orang anak ini.
Penulis turut menemubual seorang lagi mangsa banjir, Muhaimi Mansor, 25 tahun yang menetap di Taman Rakyat Jaya.
"Sudah lebih setahun saya dan keluarga menyewa di sini. Bila banjir menimpa tindakan paling utama adalah menyelamatkan keluarga," katanya yang turut berterima kasih atas sumbangan daripada Skuad Wanita KEADILAN.
Jiwa perlu kental
Bagi penulis menyantuni mangsa banjir bukan sahaja perlu fizikal cergas tetapi jiwa juga mesti kental.
Kerap kali air mata berlinang apabila melihat musibah yang menimpa mereka serta trauma yang dialami.
Taman Rakyat Jaya adalah antara kawasan di daerah Dungun yang terjejas akibat banjir minggu lalu.
Jumlah rumah di taman perumahan tersebut kira-kira 600 buah. Daripada jumlah tersebut sekitar 500 buah terjejas.
Pada hari ini juga kami turut menyantuni komuniti di kawasan Kampung Pangkalan Jering yang menjadi mangsa banjir.
Sewaktu kami tiba di kawasan tersebut kebanyakan mangsa-mangsa banjir sedang membersihkan rumah masing-masing dan kehadiran Skuad Wanita KEADILAN dapat membantu menceriakan mangsa dengan pemberian pelbagai barangan yang diperlukan oleh mereka.
Comments