Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) di bawah inisiatif Malaysia Madani Artificial Intelligence (MMAI).
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Dalam Negeri, kerjasama yang dimeterai di antara Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pelaburan UAE, Mohamed Hassan Alsuwaidi bertujuan untuk meningkatkan keselamatan negara berasaskan teknologi digital terbaharu.
"Kerjasama ini bertujuan untuk memanfaatkan AI dan analitik data lanjutan bagi meningkatkan keselamatan komuniti, keselamatan negara, dan kecekapan operasi," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, antara bidang kerjasama yang dikenal pasti termasuklah pembangunan sistem keselamatan negara berasaskan AI; penubuhan pusat data pengkomputeran berprestasi tinggi dan pusat operasi keselamatan negara dan penambahbaikan kecekapan operasi.
Bagi Saifuddin, kerjasama itu merupakan langkah penting dalam mencapai aspirasi Malaysia untuk menjadi pemain utama dalam landskap AI global.
"Dengan memanfaatkan AI dan analitik data lanjutan, Malaysia berhasrat untuk menangani cabaran kompleks, termasuk keselamatan awam, sambil meningkatkan kecekapan operasi.
"Kerjasama ini turut menandakan langkah penting dalam hubungan keselamatan antara Malaysia dan UAE," katanya.
Untuk rekod, Malaysia merupakan rakan dagang ke-12 terbesar UAE di Asia dan kelima di kalangan negara ASEAN, manakala UAE adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia di dunia Arab, merangkumi 32% daripada perdagangan Malaysia dengan rantau tersebut.
Comentarios