top of page

Malaysia, Turkmenistan komited kukuhkan kerjasama dua hala



Malaysia menyatakan komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama dengan Turkmenistan dengan menubuhkan sebuah suruhanjaya bersama bagi membolehkan pertemuan antara kedua-dua negara diadakan mulai tahun depan.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama tersebut sangat penting dan perlu diteruskan bagi memberikan manfaat serta kejayaan untuk kedua-dua negara.


"Kedua-dua negara kita berkongsi hubungan yang erat dan kami memperbaharui komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan ini.


"Sehubungan itu, sebuah suruhanjaya bersama akan ditubuhkan, dan saya gembira untuk mengumumkan bahawa menteri-menteri luar kedua-dua negara akan bertemu awal tahun depan bagi memperkukuh kerjasama ini," katanya dalam sidang akhbar bersama Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedow di Putrajaya hari ini.


Terdahulu, Serder diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra sebelum mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.


Kedua-dua pemimpin itu turut menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kebudayaan, kesenian dan warisan serta pembangunan industri getah dan kerjasana ekonomi.


Perdagangan antara Malaysia dan Turkmenistan menunjukkan pertumbuhan ketara, dengan jumlah dagangan melonjak 74.8 peratus dari Januari hingga Oktober 2024.


Anwar berkata Malaysia menghargai sokongan padu Turkmenistan terhadap industri Malaysia, khususnya PETRONAS Carigali.


"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih.


"Saya memberi jaminan... bahawa kerjasama ini sangat penting dan akan terus memberikan manfaat serta kejayaan bersama untuk kedua-dua negara," ujarnya.


Perdana Menteri berkata pihaknya terkesan dengan wawasan Presiden Serder yang bukan sahaja memfokuskan kepada peningkatan perdagangan dan pelaburan malah merangkumi pemahaman menyeluruh tentang pembangunan.


Katanya ia termasuk aspek kebudayaan dan usaha mempromosikan keamanan sejagat, satu aspirasi yang Malaysia sokong sepenuhnya.


"Sebagai tanda penghormatan dan rasa kagum terhadap kekayaan budaya Turkmenistan serta kepimpinan Presiden, kami juga ingin menyatakan penghargaan kami terhadap sambutan ulang tahun ke-300 Magtymguly Pyragy, seorang tokoh sastera dan penyair yang dihormati.


"Magtymguly Pyragy tidak hanya dikenali di Turkmenistan tetapi juga sebagai simbol keadilan, keamanan, dan integriti..." katanya.


Anwar berkata Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Malaysia sedang dalam proses menterjemahkan beberapa karya Magtymguly Pyragy ke dalam Bahasa Melayu.


Usaha ini bertujuan memperkenalkan legasi inspirasi beliau kepada masyarakat Malaysia, sekaligus memperkayakan pertukaran budaya antara kedua-dua negara.


"Inisiatif seperti ini menyerlahkan sifat menyeluruh kerjasama kita, khususnya sebagai negara yang komited terhadap pembangunan dan keamanan dalam dunia Islam," ujarnya.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page