top of page

Malaysia, Turkiye sepakat tingkat kerjasama termasuk pertahanan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Feb 11
  • 2 min read


Malaysia dan Turkiye bersetuju untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan meningkatkan perdagangan dan pelaburan melebihi angka AS$5 hingga AS$10 bilion meliputi pelbagai bidang termasuk pertahanan dan pertukaran teknologi.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerjasama itu dilakukan melalui Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi dengan pelbagai perjanjian serta Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini.


Sambil menyatakan 'ini adalah sesuatu yang jarang berlaku', beliau percaya ia menyaksikan tahap kerjasama yang maksimum.


"...menteri-menteri, birokrat, ahli perniagaan, dan syarikat-syarikat kita telah mengambil komitmen ini dengan serius untuk melaksanakan keputusan yang telah kita buat.


"Masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Presiden Recep Tayyip Erdoğan telah mencadangkan agar kita meningkatkan perdagangan dan pelaburan melebihi angka lima hingga sepuluh bilion dolar, satu sasaran yang sangat tinggi.


"Namun, saya yakin dengan komitmen rakan-rakan saya, sasaran ini boleh dicapai," katanya dalam sidang akhbar bersama Erdogan selepas melakukan pertemuan dua hala di Putrajaya hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia dan Türkiye perlu bekerjasama dalam pelbagai bidang seperti semikonduktor, agri-komoditi, elektrik dan elektronik, makanan dan minuman, serta pertahanan.


"Menteri Pertahanan juga telah menegaskan keperluan untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor ini bagi membina ekosistem yang kukuh serta pertukaran teknologi," ujarnya.


Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengalu-alukan kepercayaan Türkiye kepada pihak berkuasa lapangan terbang Malaysia, MHB Investment untuk meneruskan kerjasama dengan Lapangan Terbang Sabiha Gökçen di Istanbul.


"Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, syarikat pembinaan tempatan, dan pengurusan lapangan terbang kerana kita telah membuktikan kejayaan cemerlang dalam pengurusan syarikat penerbangan dan lapangan terbang, bukan sahaja di Türkiye tetapi juga sebagai contoh unggul di Eropah dan dunia," katanya sambil menambah beliau kagum dengan kemampuan pentadbiran Erdogan mengubah Turkish Airlines menjadi syarikat penerbangan terkemuka, manakala lapangan terbang Türkiye berkembang menjadi antara yang terbesar, paling cekap, dan menerima begitu ramai pelawat.


Selain itu, sektor tenaga bersama Petronas dan syarikat berkaitan, industri halal, kesihatan, digital, dan pengurusan bencana juga akan terus diperkukuh, tekan Perdana Menteri.


Terdahulu Erdogan, yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya.


Sebaik tiba pada 11.10 pagi, Erdogan disambut Perdana Menteri sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.


Erdogan kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) sebelum menghadiri pertemuan dua hala dengan Anwar.


Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, anggota Kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.


Lawatan Erdogan adalah atas jemputan Anwar, mengeratkan hubungan kukuh antara kedua-dua negara.


Jumlah perdagangan antara Malaysia dengan Turkiye ialah RM24.13 bilion (USD5.28 bilion) pada 2024, merekodkan peningkatan 18.7 peratus dari 2023.


Melalui lawatan tersebut, Anwar turut menerima sebuah kenderaan elektrik (EV) Togg sebagai hadiah daripada Presiden Erdogan.


Erdogan menghadiahkan Togg T10X berwarna putih itu kepada Anwar sebagai tanda persahabatan.


Anwar kemudiannya memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik sepenuhnya itu ke kediaman rasmi, Kompleks Seri Perdana bersama Erdogan bagi menyaksikan pertukaran perjanjian, sidang media bersama, serta jamuan makan tengah hari.


Ditubuhkan pada tahun 2018, Togg merupakan pengeluar EV nasional utama pertama Turkiye.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page