Malaysia menolak idea Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald J Trump untuk mengusir secara paksa penduduk Gaza, Palestin ke negara negara Arab.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan tersebut amat tidak berperikemanusiaan dan melanggar prinsip undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Sebarang usaha untuk mengenakan penyelesaian secara sebelah pihak dan paksa yang menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri serta mencabuli kebebasan mereka adalah tidak boleh diterima, tidak dapat dipertahankan, dan hanya akan memperburuk salah satu konflik paling berpanjangan di rantau ini (Asia Barat).
"Malaysia kekal teguh dalam solidaritinya bersama rakyat Palestin. Satu-satunya jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Timur Tengah adalah melalui penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara," katanya.
Selain itu, Malaysia juga menyeru kepada negara negara yang belum menyatakan sokongan terhadap penyelesaian dua negara - Palestin dan Israel - untuk segera mengiktiraf negara Palestin merdeka dan menyokong keanggotaan penuhnya dalam PBB seperti yang terkandung dalam Resolusi Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam 2024 yang diterima pakai pada 11 November 2024.
"Pendekatan tersebut kekal sebagai pendirian prinsip Malaysia dan sejajar dengan sokongan jangka panjang masyarakat antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara.
"Masyarakat antarabangsa mesti bersatu dalam menyeru penyelesaian yang adil dan berkekalan yang dihormati serta diterima oleh rakyat Palestin.
"Ini merupakan langkah penting pertama ke arah memastikan keselamatan dan keamanan jangka panjang bagi rakyat Palestin serta kestabilan rantau Timur Tengah," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia menyokong penuh sebarang usaha diplomatik dan multilateralisme yang diusahakan oleh mana mana pihak bertujuan menjamin keamanan berkekalan di Asia Barat.
"Ia termasuklah inisiatif yang sedang digerakkan oleh Global Alliance dan The Hague Group, dalam memastikan keamanan berkekalan melalui penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat," katanya.
Commentaires