Pembangkang atau laskar siber mereka tidak seharusnya memutar belit kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam wawacara bersama media antarabangsa CNN kononnya beliau mengiktiraf “hak Israel untuk mempertahankan diri”.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, pendirian Malaysia adalah jelas dalam membela perjuangan rakyat Palestin dan menentang genosid Israel sejak sekian lama.
Manakala isu penyelesaian dua negara (two-state solution) pula bukanlah idea yang dibawa oleh PM Anwar, sebaliknya hal itu telah lama diperkatakan dan telah pun diungkapkan oleh beberapa Perdana Menteri Malaysia sebelum ini.
"Kalau kita teliti kenyataan PM dalam wawancara tersebut, beliau ada menyatakan pendirian tegas Malaysia melindungi negara Palestin dan sehingga kini kita tidak pernah sekali pun mengiktiraf negara Israel.
"Malah apa yang disebut sebagai penyelesaian dua negara adalah kenyataan yang bukan dibuat hari ini atau semalam, tetapi sejak 2002 lagi oleh PM sebelumnya.
"(Kenyataan pernah dibuat) pada 2002 (PM Mahathir), pada 2005 (PM Abdullah Badawi), pada 2016 (PM Najib), pada 2020 (PM Muhyiddin) dan juga 2021.
"Ini adalah pendirian yang telah dipegang kerajaan sejak sekian lama," kata Fahmi dalam sidang media di Kompleks Kementerian Komunikasi, Presint 4, Putrajaya, petang ini.
Menurut beliau lagi, sebaliknya PM dalam penjelasan menteri minggu lalu di Dewan Rakyat telah menyatakan hasrat Malaysia untuk membawa usul dalam sidang Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi mengeluarkan negara haram Israel daripada pertubuhan dunia itu.
"(Malangnya hal) ini tidak langsung disebut oleh puak ini (penyokong pembangkang) dan ia sangat tidak adil. Saya bagi pihak Jemaah Menteri perlu memberi penjelasan perkara ini," katanya.
Sehubungan itu, Fahmi mengakui beliau sedang memantau pihak yang menerbitkan fitnah berkenaan PM yang disebar luas di media sosial.
Terdahulu, wawancara PM Anwar bersama wartawan CNN, Richard Quest telah disunting sedemikian rupa oleh media dan laskar siber pro pembangkang kononnya PM bersetuju hak Israel mempertahankan diri selepas berlakunya serangan oleh sayap bersenjata Palestin, Hamas pada 7 Oktober 2023, yang membawa kepada perang Israel - Palestin seminggu kemudian.
Sedangkan dalam wawancara itu, jelas Anwar mempertahankan Palestin dan mengecam Israel serta sekutu Barat yang membenarkan pembunuhan beramai ramai oleh rejim zionis sejak 13 bulan lalu.
Comments