Malaysia dan Thailand memberikan komitmen untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala melalui pasukan petugas bersama yang ditubuhkan dengan sasaran nilai mencecah AS$30 bilion menjelang 2027, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau dalam sidang media bersama rakan sejawatan dari Thailand, Paetongtarn Shinatwatra berkata, kedua-dua negara berjiran itu juga bersetuju menyokong usaha memperkukuh perdagangan intra-ASEAN dan mempermudah pergerakan barangan dengan cekap dan lancar di rantau ini.
Selain itu, kedua-dua pemimpin mahu memastikan pelaksanaan projek-projek yang telah dipersetujui disiapkan tepat pada masanya, termasuk penjajaran jalan menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao, serta pembinaan jambatan kedua yang menghubungkan Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Kolok, Narathiwat.
"Salam mesra kepada Perdana Menteri Paetongtarn atas lawatan rasmi pertama ke Malaysia sejak memegang jawatan empat bulan lalu.
"Hubungan erat di peringkat tinggi diteruskan sebagai jiran dan rakan karib dalam ASEAN," kata Anwar selepas mengadakan Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand (AC) ketujuh di Putrajaya hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan yang menyifatkan mesyuarat tersebut berlangsung secara kontruktif dan produktif berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada PM Paetongtarn atas sokongan tidak berbelah bahagi pihaknya terhadap Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.
Katanya kedua-dua negara turut bersetuju membangunkan hubungan pelengkap yang lebih erat khususnya dalam industri getah dan halal.
"Rundingan Tahunan ke-7 amat bertepatan masanya untuk menilai kemajuan cemerlang dalam hubungan dan kerjasama dua hala sejak Rundingan Tahunan terakhir pada 2016," ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar berkata pihaknya juga mengalu-alukan kemajuan positif dalam Proses Dialog Keamanan yang sedang berlangsung di wilayah sempadan Selatan Thailand serta usaha untuk membangunkan Pelan Komprehensif Bersama ke arah Keamanan (JCPP) sebagai pelan tindakan untuk mewujudkan suasana kondusif bagi keamanan.
"Malaysia komited untuk memudahcarakan Dialog Keamanan Thailand Selatan," katanya.
Dalam pada itu, kedua-dua negara turut menyeru pelaksanaan penuh Konsensus Lima Perkara (5PC) dengan matlamat mencari penyelesaian aman dan berkekalan di Myanmar.
Berkaitan Laut China Selatan, Anwar menegaskan kedua-dua negara juga menyatakan komitmen untuk menangani isu secara aman dan konstruktif, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara sejagat, termasuk Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
Kedua-dua pemimpin ASEAN itu turut bersetuju kepada pelaksanaan penuh dan berkesan Deklarasi Kot Tatalaku dan penyelesaian awal Kod Tatalaku berkaitan Laut China Selatan.
Malaysia dan Thailand turut bersetuju memberikan sokongan kepada Timor Leste untuk proses kemasukan sebagai ahli penuh ASEAN.
Terdahulu Paetongtarn Shinawatra yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, diberi majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya.
Paetongtarn yang tiba di sini semalam untuk lawatan sulungnya ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Ogos lepas, disambut oleh Perdana Menteri Anwar sebaik tiba pada pukul 9 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Beliau kemudian memeriksa kawalan kehormatan oleh tiga pegawai dan 102 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat).
Majlis itu turut dihadiri pasangannya, Pidok Sooksawas dan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, anggota Kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.
Thailand merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah perdagangan berjumlah AS$24.83 bilion (RM113.16 bilion) pada 2023.
Antara Januari dan Oktober lalu, perdagangan dua hala telah mencecah AS$20.75 bilion (RM95.50 bilion), berbanding AS$20.69 bilion (RM94.37 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2023.
Comments