Kerajaan Malaysia menerima dua rakyatnya yang diserahkan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) setelah ditahan di Kem Guantanamo Bay, Cuba sejak 2006 bagi membolehkan mereka menjalani baki hukuman di negara ini selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tentera AS atas kesalahan membunuh yang melanggar undang-undang perang.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan telah merangka suatu program reintegrasi yang komprehensif khusus untuk kedua-dua individu berkenaan merangkumi bantuan perkhidmatan sokongan, kebajikan dan saringan kesihatan.
"Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani atas prinsip hak asasi manusia dan dokongan keadilan sejagat telah menerima dua orang warganegara Malaysia, Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep, yang diserah oleh Kerajaan Amerika Syarikat selepas ditahan sejak tahun 2006 di Kem Tahanan Guantanamo Bay, Cuba.
"Kerajaan telah merangka suatu program reintegrasi yang komprehensif khusus untuk kedua-dua individu berkenaan merangkumi bantuan perkhidmatan sokongan, kebajikan dan saringan kesihatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri merakam ucapan penghargaan kepada pelbagai agensi kerajaan yang terlibat dalam menyempurnakan proses penyerahan kedua-dua warganegara Malaysia itu.
Terdahulu, Jabatan Pertahanan AS hari ini mengumumkan pemulangan Mohammed Farik, 49, dan Mohammed Nazir, 47, dari pusat tahanan di Guantanamo Bay kepada kerajaan Malaysia.
"Kedua-dua rakyat Malaysia itu, masing-masing mengaku bersalah di hadapan Mahkamah Tentera atas beberapa kesalahan termasuk pembunuhan melanggar undang-undang perang, sengaja menyebabkan kecederaan parah, konspirasi dan pemusnahan harta benda," kata Pentagon dalam kenyataan di muat naik dalam laman webnya.
Berdasarkan perjanjian pra perbicaraan, kedua-dua lelaki itu telah bekerjasama dengan memberikan keterangan yang boleh digunakan dalam kes terhadap Encep Nurjaman atau Hambali, rakyat Indonesia yang merupakan dalang dalam serangan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda ke atas kelab malam di Bali pada 2002 dan serangan di Hotel J.W. Marriott di Jakarta, Indonesia pada 2003.
Pada 13 Jun lalu, selaras dengan perjanjian itu, pihak berkuasa AS meluluskan hukuman penjara selama kira-kira lima tahun untuk setiap seorang dan mencadangkan kedua-duanya dipulangkan untuk menjalani baki hukuman.
Pada 14 November lalu, Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin memaklumkan Kongres AS tentang niatnya untuk memulangkan kedua-dua rakyat Malaysia itu.
Comments