Malaysia menyatakan pendirian menyokong prinsip perkongsian masa hadapan dalam polisi hubungan luar China.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuannya dengan PM China, Li Qiang menyatakan prinsip yang diutarakan oleh Presiden Xi Jinping sebelum ini amat baik bagi perkembangan ekonomi rantau Asia serta penduduknya.
"Prinsip ini menjadi antara asas penting mengapa Malaysia memilih menyertai pakatan BRICS. Dalam soal ini, saya menzahirkan penghargaan tertinggi atas sokongan China terhadap penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS.
"Terkait kerjasama Malaysia-China, saya nyatakan sikap Malaysia yang terus terbuka dan mengalu-alukan kerjasama strategik dan lebih banyak pelaburan terkait teknologi berkualiti tinggi, ekonomi digital, pendidikan serta dalam sektor-sektor berkemahiran tinggi.
"Malaysia juga mahu mempertingkatkan hubungan perdagangan terutama membabitkan produk halal, sektor pertanian komoditi dan menggalakkan pertukaran kepakaran serta dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Saya turut nyatakan bahawa Malaysia berkongsi keutamaan dalam beberapa dasar yang dilaksanakan, terutama dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar, memartabatkan kehidupan rakyat serta mencapai pembangunan mampan," katanya dalam kenyataan di Facebook.
PM juga berkata, Malaysia mahu terus menerus belajar daripada kejayaan luar biasa negara tembok besar itu menerusi kerjasama dengan China International Development Cooperation Agency (CIDCA) dan International Poverty Reduction Centre (IPRCC).
Dalam pertemuan tersebut, Anwar dan Primier Li turut menyaksikan pertukaran dokumen terkait Belt and Road Initiative (BRI) serta pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara BERNAMA dan China Media Group (CMG).
"Alhamdulillah, pertemuan ini telah mempererat hubungan peribadi antara saya dan Premier Li, dan memperkukuh persahabatan Malaysia-China yang pastinya akan memanfaatkan rakyat kedua-dua negara, Insya-Allah," katanya lagi.
PM Anwar dalam rangka lawatan ke ekspo perdagangan di Shanghai, China sempena ulang tahun ke 50 hubungan Malaysia-China.
Selepas ini PM akan mengunjungi Beijing dan bertemu Presiden Xi Jinping dalam rangka kerja mengukuhkan hubungan dua hala dan perdagangan.
*Foto Kredit: Amir Haziq/PMO
Comments