Malaysia sangat terdedah kepada kesan perubahan iklim, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad.
Melalui ucapan perasmian Forum Adaptasi Perubahan Iklim Belia pada Jumaat, beliau berkata Malaysia bertekad untuk menambah baik tindakan penyesuaian dan penyelarasan dengan Rangka Kerja untuk Ketahanan Iklim Global Emiriah Arab Bersatu, seperti yang dibincangkan semasa Persidangan Perubahan Iklim ke-28 (COP28) di Dubai tahun lepas.
"Usaha tersebut juga jelasnya seiring dengan persiapan Malaysia untuk mempengerusikan ASEAN tahun hadapan," katanya dipetik.
Forum bertajuk Embracing Resilience In Malaysia diadakan bersempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau serta Produk Eko Malaysia (IGEM) di Kuala Lumpur.
Ia memfokuskan kepada golongan muda dan memaparkan perbincangan mengenai bandar mampan, pemuliharaan biodiversiti dan pemulihan ekosistem, pertanian mampan dan keterjaminan makanan, keadilan iklim, kesedaran dan pendidikan.
Nik Nazmi sementara itu berkata, generasi muda merupakan rakan kongsi kritikal dalam menangani isu iklim dan alam sekitar yang unik di Malaysia.
NRES pada 7 Jun lalu menubuhkan Kluster Belia, satu sub-panel di bawah Panel Perundingan Perubahan Iklim, untuk menggabungkan perspektif belia daripada pelbagai organisasi dan komuniti ke dalam inisiatif perubahan iklim negara.
"Penyertaan mereka dalam proses membuat keputusan penting, memastikan suara mereka didengari dan perspektif mereka dimasukkan ke dalam polisi pembangunan dan pelaksanaannya. Seperti golongan belia tidak terlalu muda untuk membuat perubahan, negara kita juga tidak terlalu kecil untuk memberi impak kepada dunia.
"Tindakan yang kita ambil akan membentuk dunia yang akan diwarisi oleh anak cucu kita. Sama seperti belia tidak terlalu muda untuk membuat perubahan, negara kita juga tidak terlalu kecil untuk memberi impak kepada dunia," katanya.
Comments