
Pelaburan Malaysia Aviation Group (MAG) melalui tempahan tinggi melibatkan 30 pesawat Boeing 737, meliputi 18 pesawat Boeing 737-8 dan 12 pesawat Boeing 737-10 menunjukkan komitmen syarikat penerbangan negara itu untuk berkembang dan berdaya tahan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata tempahan tersebut turut melibatkan tambahan 30 lagi pesawat bagi memperbaharui armada Malaysia Airlines menjelang 2030.
"Pelaburan ini bukan sekadar membawa masuk pesawat moden, tetapi melambangkan komitmen MAG terhadap kemajuan dan masa depan industri penerbangan untuk seluruh rakyat Malaysia dan komuniti yang dilayaninya.
"Pesawat ini bukan sahaja meningkatkan pengalaman perjalanan, malah menggabungkan teknologi moden dan kecekapan yang lebih baik, di samping mewujudkan peluang pekerjaan, merancakkan sektor pelancongan, serta memperkukuh industri yang bergantung kepada sektor penerbangan yang kukuh.
"Kesan positifnya akan dirasai di seluruh ekonomi kita, mencipta peluang baharu bagi perniagaan dan individu," katanya dipetik ketika berucap pada majlis Pertukaran Dokumen bagi Tempahan Penggantian Pesawat Lorong Tunggal MAG di Putrajaya semalam.
Hadir sama Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Pengarah Urusan MAG Datuk Kapten Izham Ismail.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selama beberapa dekad, Malaysia Airlines, telah menjadi lebih daripada sekadar sebuah syarikat penerbangan – "ia adalah ikon kebangsaan yang membawa bendera dan semangat kita ke setiap penjuru dunia".
Dengan Malaysia terletak secara strategik di tengah-tengah ASEAN, Perdana Menteri berkata Malaysia menjadi pintu gerbang ke Asia dan dunia.
"Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, kita bertekad untuk membangunkan ekonomi bernilai tinggi yang mampan—ekonomi yang menyokong inovasi, menarik pelaburan, dan meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat global," ujarnya.
Dalam pada itu, Izham berkata pemilihan 737-8 dan 737-10 mencerminkan penilaian teliti terhadap strategi pertumbuhan jangka panjangnya, memastikan syarikat penerbangan itu mempunyai pesawat sesuai untuk memenuhi permintaan pasaran yang berkembang.
"Jangkaan penghantaran Boeing 737-8 dan 737-10 baharu bermula pada 2029. Bagaimanapun, MAG mempunyai pilihan untuk 30 lagi pesawat Boeing dan ia akan menjadi gabungan 737-8 atau 737-10," katanya.
Beliau berkata Malaysia Airlines akan ketinggalan ke belakang terutamanya di ASEAN jika tidak melabur dalam armada setelah ia berdepan beberapa isu tahun lepas dalam menguruskan pesawat dan rantaian bekalannya yang semakin berusia.
Melalui tambahan pesawat baharu itu, MAG secara beransur-ansur menghentikan menggunakan pesawat Boeing 737-800 yang lebih lama dan menyasarkan untuk pesawat berbadan sempit yang moden sebanyak 55 buah pesawat Boeing 737-8 dan Boeing 737-10 menjelang 2030.
Kumpulan itu kini mengendalikan armada 113 pesawat termasuk 42 buah Boeing 737-800s di bawah Malaysia Airlines dan lima lagi dalam Firefly.
Comments