
Oleh: Akmal Nasir
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) akan menghantar perwakilan tertinggi ke Konvensyen Basel pada tahun ini bagi mengatasi masalah pembuangan sisa elektronik (e-sisa) dengan sebaik mungkin.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Malaysia merupakan negara ahli kepada Konvensyen Basel iaitu satu perjanjian antarabangsa yang mengawal kemasukan sisa kepada negara-negara di dunia.
''Sebenarnya e-sisa adalah isu menyeluruh yang ada di seluruh dunia disebabkan peningkatan penggunaan barangan elektronik yang begitu meluas.
''Prinsip asasnya e-sisa atau plastik dan sebagainya hanya boleh dihantar dari negara maju ke negara membangun dengan adanya 'free, prior and informed consent' (FPIC) daripada negara penerima.
''Kita tidak memberikan FPIC ini, tetapi ia tetap masuk dengan pelbagai helah dan kebanyakannya menerusi pelabuhan di negara kita.
''Kita juga sedang meningkatkan pengkuatkuasaan, tetapi kita merasakan perlu ada pendekatan yang lebih menyeluruh,'' katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol yang ingin tahu bagaimana kedudukan Malaysia dengan negara lain dalam pengurusan e-sisa dan apakah langkah tegas kerajaan bagi mencegah pembuangan sisa elektronik secara haram di Malaysia oleh negara-negara lain.
Menjelaskan lebih lanjut, Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, kerajaan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar seperti Basel Action Network (BAN) yang berperanan memberikan maklumat tentang kapal-kapal dari Amerika Syarikat yang datang Malaysia.
''Tetapi ia merupakan satu cabaran (untuk sekat kemasukan e-sisa) apabila (kapal) telah keluar dari Amerika dan seterusnya menuju ke pelabuhan kita.
''Amerika yang merupakan antara negara besar pengeluar e-sisa bukan negara ahli kepada Konvensyen Basel,'' tambah beliau lagi.
Comments