Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai satu-satunya pemimpin dunia yang konsisten dalam mempromosikan ekonomi dan kewangan Islam.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, Malaysia kini berada di tangga pertama dalam Islamic Finance Development Index (IFDI) 2024, sebahagiannya kerana hasil usaha Anwar yang membangunkan instrumen kewangan Islam sejak beliau menjadi Menteri Kewangan pertama kali pada 1990an lalu.
''Malaysia berada di tangga pertama, sudah 12 kali berturut-turut mendahului banyak negara besar dan kaya yang lain.
''Saya menulis buku 'The Future of Islamic Finance', cuba melontarkan idea untuk melihat Kewangan Islam di Malaysia terus terbang tinggi dan meneroka peluang menerusi dimensi yang lebih menyeluruh selari dengan Maqasid al-Shari’ah.
''Tidak lupa untuk menelusuri sejarah bagaimana Datuk Seri Anwar menyumbang jasa yang cukup besar, malahan sebelum bergelar Menteri lagi.
''Penubuhan Bank Islam, UIAM, Amanah Ikhtiar Malaysia dan lain-lain (merupakan) sumbangan yang begitu signifikan dalam sejarah Malaysia sejak dari era ABIM, PKPIM dan MBM,'' katanya yang menyingkap kembali sejarah Kewangan Islam yang ditulis beliau dalam satu kenyataan.
Ahli Dewan Negara itu berkata, Koperasi Belia Islam (KBI) juga mempunyai sejarah panjang serta memberi sumbangan tersendiri kepada sistem koperasi dan institusi kewangan Islam di negara ini.
Ujarnya, KBI yang ditubuhkan oleh ABIM turut dicatat dalam buku 'Historical Roots of Islamic Finance in Malaysia from the Pre-Islamic Era Until 1983', mencatatkan bagaimana koperasi itu sebagai sebuah institusi awal yang membangun dan menyumbang kepada muamalah Islamiyyah di Malaysia.
Katanya berkat doa, kegigihan dan usaha, KBI telah menjadi institusi pertama di Malaysia yang memperkenalkan produk dan instrumen kewangan yang berlandaskan syariah.
''Sebelum Bank Islam berjaya ditubuhkan di Malaysia, KBI telah memainkan peranan sebagai institusi yang menjalankan aktiviti kewangan Islam kepada masyarakat Islam seperti kemudahan pinjaman secara Islam.
''Penubuhan KBI pada 31 Mei 1977 merupakan strategi dakwah yang dijalankan oleh Biro Ekonomi ABIM di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar untuk mendapatkan dana bagi keperluan para ahli dan aktiviti-aktiviti gerakan.
''Matlamatnya melalui koperasi adalah untuk melaksanakan sistem kewangan Islam dalam urus niaga perniagaan dan pengeluaran produk dengan mengikut syariah Islam,'' katanya lagi.
Menceritakan lebih lanjut, beliau menyifatkan, penglibatan ABIM menerusi KBI telah dapat membantu masyarakat Melayu dalam beberapa kemudahan, keperluan dan urus niaga yang bersifat ‘Islamic’ tanpa membabitkan bunga atau riba yang menjadi ciri utama urus niaga moden hari ini (Laporan Tahunan KBI 1982).
''Antaranya adalah menerusi Skim Pinjaman Tanpa Faedah (SPTF) yang mendapat perhatian ramai, termasuk dalam kalangan masyarakat bukan Muslim.
''Sepanjang operasinya, KBI telah menerima anugerah daripada Kementerian Pembangunan Tanah dan Koperasi bagi kategori ‘Koperasi Model’ pada tahun 1985 dan ‘Anugerah Kualiti’ pada 1993.
''Sejak awal penubuhannya pada era 1970, ABIM di bawah kepimpinan Almarhum Ustaz Dr Razali Nawawi dan Datuk Seri Anwar mendesak kerajaan agar penubuhan Bank Islam disegerakan untuk membolehkan KBI menggunakan segala kemudahan yang bakal disediakan oleh bank berkenaan.
''Hal ini menggambarkan bahawa KBI berjaya mendahului mana-mana institusi kewangan atau perdagangan di negara ini termasuklah penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang ditubuhkan pada 11hb Mei 1983,'' katanya.
Justeru ujarnya, KBI telah membuka laluan kepada perkembangan institusi-institusi kewangan Islam di Malaysia seperti Bank Islam dan Sistem Perbankan Islam.
''Pada tahun 1983, Bank Islam telah ditubuhkan secara rasmi oleh kerajaan.
''Hal ini kerana timbul kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam supaya tidak melibatkan diri dalam urusan riba dan muamalat yang haram dalam kehidupan seharian.
''Saya selalu memaklumkan bahawa Datuk Seri Anwar adalah satu-satunya pemimpin dunia yang konsisten mempromosi Ekonomi Islam dan Kewangan Islam," katanya lagi.
Commentaires