Malaysia, salah satu negara diundang ke Sidang Kemuncak Tergempar Negara Arab dan Islam berhubung peperangan di Palestin yang akan diadakan di Riyadh, Arab Saudi bakal mengetengahkan isu gencatan senjata segera, menamatkan genosid rakyat Palestin dan pelan kemerdekaan penuh buat negara berkenaan.
Hal itu dinyatakan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi penerangan khas di bawah Peraturan 14(1)(i) di Dewan Rakyat pagi ini.
Menurut PM, Malaysia akan menggunakan sepenuhnya undangan Raja Arab Saudi dalam sidang kemuncak pada 11 Nov ini untuk bersama sama negara Islam lain memberi tekanan kepada masyarakat antarabangsa agar segera menamatkan perang Israel - Palestin.
Katanya, resolusi dalam sidang khas tergempar Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) pada 18 Sept lalu yang menggesa penamatan pendudukan haram Israel di Palestin dalam tempoh 2 bulan berlandaskan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB haruslah dilaksanakan segera.
"Maka perlu ada kesepakatan yang dilahirkan oleh Ahli Yang Berhormat dari pelbagai parti, NGO dan masyarakat tentang dukungan Malaysia terhadap perjuangan sah rakyat Palestin ini.
"Oleh demikian, kehadiran saya ke sidang kemuncak ini membawa mandat rakyat untuk mengambil tindakan bagi menghentikan kekejaman berterusan Israel ke atas rakyat Palestin
"Pencerobohan dan pemusnahan pusat ibadah. Serangan terbuka terhadap wilayah Lubnan dan Iran termasuk pembunuhan kejam ke atas (pemimpin Palestin) Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar (perlu diselesaikan)," katanya kepada dewan.
Selain itu, menurut PM, sidang itu juga bakal membincangkan masalah semasa dihadapi oleh Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Semenanjung Gaza berikutan keputusan rejim Israel mengaramkan misi bantuan pada 8 Okt 2024.
"Adalah penting bagi Malaysia dan komuniti antarabangsa mengutuk jenayah genosid di Palestin terkait tekanan ke atas Israel untuk melaksanakan gencatan senjata dan segera membenarkan bantuan kemanusiaan.
"Maka inisiatif diambil Arab Saudi (anjur sidang tergempar) tentu akan memberi takanan. Kehadiran Malaysia memberi gesaan untuk tindakan susulan lebih bermakna membebaskan Palestin," katanya.
Malaysia juga, kata Anwar akan mengusulkan ke persidangan kemuncak itu agar sokongan sepenuhnya diberikan kepada UNRWA dalam melaksanakan mandatnya memberi perkhidmatan soial dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
"Malaysia berhasrat menggunakan sidang kemuncak ini untuk meraih sokongan negara Arab dan Islam terhadap ikhtiar tesebut bagi menghalang keputusan Parlimen Israel Knesset pada 28 Okt yang bertujuan melenyapkan UNRWA dan memburukkan situasi kemanusiaan di utara Gaza yang mengalami kebuluran setelah terputus bantuan asas sejak sekian lama," katanya.
Isu mendesak lain yang bakal dibawa, kata PM, adalah berhubung pelan tindakan mencapai kemerdekaan mutlak Palestin dalam jangka waktu munasabah.
PM Anwar dalam sesi penerangan itu juga menjelaskan kepada dewan sehingga 1 November 2024 kezaliman di Gaza telah mengorbankan 43,204 nyawa rakyat Palestin termasuk 16,000 kanak kanak. Manakala 101,641 rakyat Palestin cedera dan 11,000 lain dilaporkan hilang.
Comentarios