Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menghidupkan kembali perbincangan mengenai isu-isu tertunggak seperti pembekalan air, persempadanan maritim dan penggunaan ruang udara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya bersetuju agar isu-isu tersebut ditangani secara menyeluruh dan memastikan penyelesaian akhir memberi faedah kepada kedua-dua pihak.
"Ya, isu-isu ini adalah rumit dan seperti yang telah disebutkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong, ia perlu ditangani secara menyeluruh atau holistik, supaya kita dapat melihat bahawa beberapa perkara yang dituntut oleh Singapura dan Malaysia harus dipertimbangkan sepenuhnya.
"Penyelesaian akhir haruslah dalam bentuk situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Singapura Lawrence Wong selepas mesyuarat delegasi sempena Pemukiman Pemimpin Ke-11, di Putrajaya hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata isu-isu yang berlarutan itu tidak seharusnya menjejaskan sikap dan kedudukan positif kedua-dua negara, sebaliknya Kuala Lumpur-Singapura perlu bekerjasama dalam perkara-perkara asas seperti ekonomi, tenaga, digital, pelaburan dan perdagangan.
"Walaupun rundingan ini telah berlangsung selama beberapa dekad, saya rasa kita tidak perlu menunggu beberapa dekad lagi untuk mencapai penyelesaian.
"Kita tidak semestinya perlu menunggu sehingga Mesyuarat Tahunan seterusnya. Kita telah bersetuju bahawa pada asas suku tahunan, kita harus mengadakan mesyuarat ringkas untuk menilai kemajuan. Dengan cara ini, kita dapat memaksa pasukan teknikal dan pakar untuk menangani isu ini dengan lebih pantas dan efisien," kata Anwar.
Anwar berkata susulan langkah itu, pasukan teknikal akan membincangkan perkara-perkara berkenaan parameternya.
Kata beliau, kedua-dua negara turut meneliti cadangan kerajaan Sarawak untuk mengeksport tenaga elektrik menggunakan kabel dasar laut melalui Semenanjung dan Singapura atau langkah alternatif yang memerlukan persetujuan negara jiran.
Anwar dan Wong juga membincangkan isu Flight Information Region (FIR) dengan mengiktiraf keperluan Malaysia dari segi perhubungannya dengan Sabah dan Sarawak.
Namun jelasnya pada masa yang sama keperluan Singapura untuk memastikan prestasi dan aktiviti di Changi dan Selangor tidak terjejas dan dipermudahkan lagi.
Dalam pada itu, Anwar merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan Singapura terhadap Malaysia sebagai pengerusi ASEAN.
"Saya berharap dapat terus berkolaborasi dengan Perdana Menteri Lawrence Wong, walaupun beliau baru sahaja menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.
"Saya gembira dengan semangat persahabatan dan komitmen beliau dalam meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura," katanya.
Comments