
Malaysia menyeru agar peralihan kepada keamanan di Syria dilaksanakan dengan menghormati kepelbagaian komuniti di negara itu sambil menolak perpecahan bersifat sektarian bagi membina semula sebuah negara yang bersatu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perpaduan mesti dijadikan prinsip utama dalam usaha membina semula negara.
"Kami memantau situasi di Syria setiap hari. Kami menyeru kepada peralihan (kuasa) secara aman dengan menghormati dengan serius pelbagai masyarakat, perpecahan sektarian mesti ditolak dan perpaduan mesti menjadi prinsip amalan bagi membina semula negara," katanya ketika berucap pada Mesyuarat The Strategic Vision Group: Russia-Islamic World di Kuala Lumpur hari ini.
Perdana Menteri turut menegaskan tanggungjawab masyarakat antarabangsa untuk menyokong Syria sebagai sebuah negara yang merdeka dan bersatu.
Pada Ahad lalu, pemerintahan keluarga Assad selama lima dekad tumbang selepas Presiden Bashar al-Assad yang melarikan diri ketika kumpulan pembebas Syria menyerbu Damsyik hingga mencetuskan pesta besar-besaran di seluruh negara Arab itu.
Agensi berita Rusia berkata pada Ahad bahawa Assad dan keluarganya berada di Moscow bagi mendapatkan suaka politik.
Kumpulan penentang kerajaan Syria melancarkan serangan mengejut bermula hujung November lalu selepas genjatan senjata antara Hizbullah di Lubnan dan Israel.
Kumpulan itu menyerbu beberapa bandar utama seperti Aleppo dan Homs sebelum menguasai Damsyik tanpa sebarang tentangan pada 8 Disember lalu sekali gus menamatkan 13 tahun protes antikerajaan sehingga mencetuskan perang saudara yang mengorbankan ratusan ribu orang.
Comments