top of page

Malaysia sentiasa di hati Prabowo Subianto



Oleh: Noraini Nordin


ULASAN BERITA: 27 Januari 2025 satu lagi catatan sejarah manis untuk Malaysia Madani yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto tiba untuk melakukan lawatan di negara ini.


Kunjungan sehari Prabowo Subianto ke Malaysia adalah atas undangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.


Malaysia adalah negara Asia Tenggara yang pertama dilawati Prabowo sejak beliau dilantik sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober 2024 lalu.


Lawatan negara ini adalah cerminan hubungan persahabatan yang teramat istimewa serta erat antara Malaysia dan Republik Indonesia.

Noraini Nordin
Noraini Nordin

Malaysia berada dekat di hati Prabowo kerana beliau merupakan kenalan lama kepada Sultan Ibrahim serta bersahabat baik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Prabowo dan Sultan Ibrahim sudah bersahabat sejak lebih 40 tahun lalu ketika bersama mengikuti latihan ketenteraan di Fort Bragg, Amerika Syarikat.


Dengan Anwar pula, Prabowo bersahabat sejak kedua-duanya berkecimpung dalam dunia politik di negara masing-masing dan kerap bertemu serta berbincang atas pelbagai isu yang dijiwai bersama.


Ketika Anwar berada di penjara, Prabowo pernah melawatnya di sana dan sebaik Anwar dibebaskan pula, beliau antara yang terawal datang berkunjung ke kediaman Presiden Parti KEADILAN itu.


Sangat bermakna kepada Malaysia


Dengan berkawan lama dengan ketua negara serta dalam masa yang sama bersahabat sebagai ketua kerajaan, lawatan Prabowo tentu sahaja membawa erti yang sangat bermakna kepada Malaysia.


Selain diberi sambutan negara di Istana Negara, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK 1) kepada Prabowo serta diraikan dalam Majlis Santapan Negara.


Selesai diberi sambutan dan diraikan di Istana Negara, Prabowo kemudiannya mengadakan pertemuan empat mata dengan Anwar di Menara Berkembar Petronas atau KLCC.


Mereka berbincang panjang berkaitan hal ehwal kedua-dua negara dan isu-isu serantau yang menyentuh kepentingan strategik Malaysia, Indonesia serta ASEAN.


Anwar dan Prabowo juga senada agar persahabatan erat kedua-dua negara serumpun ini terus dipertahan dan diperhebatkan, baik dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan, kerjasama dalam pelbagai bidang serta hubungan antara rakyatnya.


Perbincangan kemudian diteruskan dalam mesyuarat terhad yang disertai pimpinan Malaysia dan Indonesia di mana aspek kerjasama, pelaburan dan perdagangan baharu adalah antara perkara yang dipersetujui bersama.


PMX dan Prabowo bertegas bahawa disebabkan Malaysia dan Indonesia mempunyai sejarah, bahasa dan budaya yang hampir sama, kekuatan itu harus dimanfaatkan untuk melonjakkan keupayaan dan kekuatan kedua-dua negara.


Ia antaranya berkaitan soal ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan, penyelidikan, teknologi makanan, industri hiliran, tenaga, pertahanan dan seumpamanya.


Tidak terkecuali, kerjasama yang disentuh adalah membabitkan PETRONAS dan PERTAMINA, dua syarikat gergasi di rantau ini yang boleh menyelaras kesepakatan dalam penerokaan dan bidang perniagaan baharu.


Untuk imbasan, daripada Januari 2024 sehingga November 2024, jumlah dagangan dua hala telah direkodkan pada RM106.06 bilion (USD23.2 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion (USD22.41 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun 2023.


Pada tahun 2023, Republik Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN, dengan jumlah dagangan keseluruhan sebanyak RM111.21 bilion (USD24.39 bilion).


Tidak syak lagi, lawatan Prabowo ke Malaysia yang disertai dengan perbincangannya yang mendalam dengan Anwar dalam pelbagai isu telah memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan kedua-dua negara.


______________________________________________________________________________

Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page