top of page

Malaysia sedia pimpin ASEAN dengan berani, yakin - PM


DS Anwar menyampaikan ucapan di Persidangan China: Asia Tenggara 2025. Foto: FB Anwar Ibrahim
DS Anwar menyampaikan ucapan di Persidangan China: Asia Tenggara 2025. Foto: FB Anwar Ibrahim

Malaysia menyarankan ASEAN agar tidak sekadar bertindak balas terhadap perubahan global termasuk cabaran hubungan dengan China sebaliknya mengambil sikap untuk memimpin rantau ini.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan dengan China akan terus menjadi tonggak kestabilan serantau namun ASEAN perlu menyesuaikan diri dengan peluang baharu ketika dinamik ekonomi berkembang.


Malah katanya Malaysia bersedia untuk memimpin ASEAN dengan penuh ketegasan dan keyakinan.


"Inilah saatnya untuk ASEAN. Kita mesti bertindak dengan segera, bersatu dan berwawasan demi masa depan yang makmur untuk semua.


"Ini adalah masa untuk keputusan berani, perkongsian transformasi dan komitmen bersama terhadap kemakmuran jangka panjang," katanya pada Persidangan China: Asia Tenggara 2025 di Kuala Lumpur hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan mengajak pemain industri seperti syarikat, ahli akademik, usahawan dan masyarakat sivil agar memainkan peranan dalam membentuk masa depan yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.


"Kita mesti memimpin. Kejayaan kita bergantung kepada sejauh mana kita mengintegrasikan teknologi baharu, membangunkan rangka kerja ekonomi yang kukuh, dan memastikan masa depan yang lebih saksama dan mampan untuk semua.


"Kita mesti melangkaui angka perdagangan dan pelaburan tradisional serta memberi tumpuan kepada perkongsian yang bersifat transformasi dan berorientasikan masa depan," katanya.


Anwar berkata Malaysia berada di tengah-tengah transformasi ini, namun negara ini bukan sekadar pemerhati dalam perubahan geopolitik dan ekonomi.


"Sebaliknya, kita adalah peserta aktif yang bekerjasama dengan rakan-rakan kita untuk membina masa depan yang berdaya tahan, inovatif dan adil," tegas beliau.


Perdana Menteri menarik perhatian bahawa kerjasama ekonomi ASEAN-China mesti dipacu oleh kolaborasi teknologi strategik, pertumbuhan mampan dan pembangunan modal insan.


"Kita mesti menerima dan menyokong integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam rantaian bekalan serantau bagi memastikan ASEAN kekal di barisan hadapan ekonomi digital.


"Pada masa sama, memperluaskan kerjasama dalam tenaga boleh diperbaharui, industri hijau dan infrastruktur mampan adalah penting untuk membina daya tahan jangka panjang dan tanggungjawab alam sekitar," ujarnya.


Dalam hal ini Anwar mengulangi pendekatan Malaysia yang berkecuali dan tidak akan terjebak dalam persaingan kuasa besar, selain menolak paksaan ekonomi dan tindakan unilateral yang boleh menjejaskan kestabilan serantau.


"Kita menyokong sistem pelbagai hala yang berasaskan peraturan, yang memastikan keadilan, ketelusan dan keterangkuman untuk semua, terutamanya bagi negara-negara di Selatan Global," ujarnya.


Beliau juga menyarankan ASEAN agar memperluaskan keterlibatan globalnya melangkaui rakan kongsi tradisional.


"Mengukuhkan hubungan dengan China, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), BRICS dan ekonomi baru muncul yang lain bukanlah soal memilih pihak, tetapi memastikan ASEAN kekal relevan dalam dunia multipolar.


"Dengan mempelbagaikan rakan kongsinya, ASEAN boleh meningkatkan daya tahan ekonominya, meneroka peluang pelaburan baharu dan memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membentuk rangka kerja tadbir urus global," katanya lagi.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page