Malaysia saran ASEAN gabung "satu suara" hadapi impak tarif AS
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 3 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Malaysia menyarankan negara anggota ASEAN mempunyai kesepakatan dalam menyatakan pendirian terhadap keputusan Amerika Syarikat (AS) menaikkan tarif eksport dengan membina asas kukuh bagi membuka peluang perundingan untuk menangani kesan daripada langkah tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan pengumuman tarif oleh Presiden Donald Trump dibuat dengan asas yang dipertikaikan, negara-negara ASEAN tidak boleh memandang ringan perkara itu terutamanya dalam suasana ekonomi dan politik dunia yang tidak menentu.
"Oleh itu, tugas saya, Kementerian Luar dan menteri-menteri berkaitan adalah menghubungi rakan-rakan kita di ASEAN agar setiap negara dapat menyatakan pendirian masing-masing dan pada masa sama kita bergerak bersama sebagai satu kelompok besar.
"Kita harus berdiri tegap bersama sebagai ASEAN dengan jumlah penduduk 640 juta dan kekuatan ekonomi antara yang utama di dunia. Rantau ini juga dianggap antara paling aman dan memacu pertumbuhan pesat dan menyakinkan di dunia," kata beliau dipetik pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pagi tadi.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Pada 2 April lalu, Trump mengumumkan satu siri tarif baharu yang secara jelas menyasarkan beberapa negara ASEAN sekali gus menaikkan duti import terhadap beberapa rakan dagang utama Washington di rantau Asia Tenggara.
Kemboja dikenakan tarif asas dan timbal balik berjumlah 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), (Vietnam 46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).
Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia, masing-masing pada 24 peratus, Filipina 17 peratus dan Singapura pada tarif asas 10 peratus.
Berdasarkan lembaran fakta daripada Rumah Putih bertarikh 2 April, tarif 10 peratus ke atas semua negara akan berkuat kuasa pada 5 April 2025.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kaedah penentuan tarif yang diumumkan Trump juga dipertikai asasnya apabila terdapat pulau kecil yang turut tersenarai dalam langkah kenaikan tarif walaupun “hanya dihuni penguin.”
"...(keputusan kenaikan tarif) Mungkin belum benar teliti." katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengambil tindakan berasaskan "jalur kesederhanaan" dengan membina kesepakatan bersama para pemimpin ASEAN untuk menyelaraskan pendirian.
Menurut Perdana Menteri beliau telah memanfaatkan lawatan Presiden Indonesia Prabowo Subianto yang datang seketika ke Malaysia untuk makan malam sempena Aidilfitri, bagi membincangkan isu tersebut serta isu-isu lain seperti Gaza dan Myanmar.
"Saya juga sempat berbincang panjang dengan Perdana Menteri Vietnam dan sebelum itu menghubungi pemimpin Filipina, Brunei, Laos dan Thailand untuk menyelaraskan pendirian masing-masing.
"Kita gunakan kekuatan untuk diselaraskan supaya ASEAN sebagai satu kelompok berdiri tegak dan menyatakan pandangan yang menunjukkan ada kesepakatan, jadi asas untuk perundingan itu lebih kukuh," katanya.
Anwar memberitahu, beliau telah menjelaskan mengenai keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Menangani Pengumuman Tarif oleh Presiden Trump yang turut dihadiri oleh seluruh Jemaah Menteri semalam.
"Kita tidak boleh pandang ringan walaupun kita tahu ini agak aneh sebab antara negara yang sebelum ini mendukung semangat perdagangan bebas serta menubuhkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Perjanjian Am mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT) iaitu negara-negara kaya seperti Amerika Syarikat tetapi keadaan berubah (kini mengambil langkah berbeza).
"Inilah yang saya kata keadaan ‘post normal times’ melihat beberapa kebijakan (polisi) politik dan ekonomi dilaksanakan secara tidak dijangka termasuk pengumuman tarif dengan asas yang sangat lemah," katanya.
Beliau berkata terdapat setengah negara ingin mengambil keputusan agak keras tetapi Jemaah Menteri membuat keputusan untuk "menentukan apa yang diputuskan secara terperinci kerana ruang untuk perbincangan masih ada."
"Kedua ada pengecualian (tarif), kita nak pastikan itu dulu...," ujarnya.
Comments