Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan mengambil sikap progresif ke arah mengurangkan pelepasan karbon dan agenda kelestarian lebih besar bagi menerapkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tatakelola (ESG) ke dalam fabrik tadbir urus negara.
Perdana Menteri (PM) berkata langkah itu bagi memastikan masa depan yang mampan untuk generasi akan datang selaras dengan kesepakatan negara di seluruh dunia untuk mengurangkan pelepasan karbon.
"Ini telah disertai dengan pelbagai langkah untuk memupuk inovasi hijau, memangkin ekonomi mampan dan laluan ke arah peralihan tenaga boleh diperbaharui.
"Di Malaysia, kita telah mengambil sikap progresif ke arah penyahkarbonan dan agenda kemampanan yang lebih besar. Malah, konsep MADANI meletakkan "kelestarian" sebagai salah satu daripada tujuh prinsip terasnya," kata Anwar ketika berucap pada pelancaran Asia ESG Positive Impact Consortium, pakatan strategik rentas sempadan pertama Asia yang dibentuk oleh tiga kumpulan media di Kuala Lumpur semalam.
Ia membabitkan Kumpulan Media Bintang dari Malaysia, KG Media dari Indonesia dan Kumpulan Inquirer dari Filipina.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar untuk mengurangkan pelepasan karbon, menggalakkan kesaksamaan sosial, mewujudkan peluang pertumbuhan baharu dalam ekonomi hijau dan memastikan tadbir urus yang telus.
"Bagi tujuan itu, dana yang besar telah diperuntukkan untuk tenaga boleh diperbaharui, pertanian mampan dan pengangkutan hijau, menandakan komitmen kerajaan untuk mengurangkan jejak karbon negara dan menggalakkan amalan mampan," katanya.
Tambahnya masyarakat harus menyedari bahawa untuk mencapai sifar bersih memerlukan usaha kolaboratif yang melibatkan semua – kerajaan, sektor swasta dan rakyat.
"Kita amat menyedari cabaran yang dihadapi oleh persekitaran kita antaranya, suhu yang lebih panas, ribut yang lebih teruk dan peningkatan kemarau.
"Malah, saintis kini telah menunjukkan bahawa 2024 adalah tahun paling panas dalam rekod. Ini bukan lagi risiko teori tetapi realiti di seluruh dunia," ujarnya.
Justeru itu, beliau mengajak masyarakat agar menerima amalan ESG yang bukan sahaja membabitkan pematuhan peraturan malah dengan anjakan minda lebih luas melibatkan prinsip penjagaan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan kecemerlangan tadbir urus.
"Oleh itu, saya menggesa semua pihak berkepentingan – perniagaan, masyarakat sivil dan individu – untuk mengambil bahagian secara aktif dalam mencapai masa depan yang mampan dan terjamin untuk generasi akan datang. Bersama-sama, kita boleh mencipta sinergi yang kuat yang mendorong perubahan bermakna," katanya.
Comments