Oleh: Mustaffa Kamil Ayub
ULASAN: Mutakhir ini, senario politik kian ruwet dan meresahkan rakyat. Keyakinan rakyat terhadap ahli politik semakin menurun dengan melihat kepada sandiwara politik. Ini diparahkan lagi dengan persepsi berlakunya tawar menawar serta ugut mengugut membabitkan Ahli-ahli Parlimen dalam usaha membentuk kerajaan.
Justeru, suatu pendekatan dan gerakan pemurnian politik perlu dilakukan berteraskan Politik Nilai.
Objektif Politik Nilai
1. Mengetengahkan pandangan baharu dalam solusi pendekatan politik Malaysia.
2. Mengembalikan keyakinan rakyat terhadap ahli politik dan budaya politik Malaysia.
3. Membina pasukan ahli politik Malaysia yang berkualiti serta mampu membawa obor perjuangan politik nilai menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 15.
Keresahan dan harapan rakyat
Rakyat semakin cerdik menilai dan kritikal. Pelbagai peristiwa dan sandiwara politik diikuti secara dekat oleh rakyat terutama dengan kecanggihan media sosial hari ini.
Rakyat umumnya muak, bosan serta mulai membenci sebahagian besar ahli politik. Ini berpunca daripada sepak terajang politik yang sarat dengan kepentingan peribadi dan kelompok sendiri.
Apa yang dimahukan rakyat ialah pemimpin yang berkualiti dengan sejumlah muka-muka baharu yang bersih dalam pasukan kerajaan.
Rakyat mahukan persefahaman baharu di kalangan ahli-ahli dan parti-parti politik. Ini penting dalam membela, menyatu dan membina semula insan, masyarakat, negara serta tamadun.
Membangun politik nilai
Oleh itu, politik nilai perlu dibangunkan. Hal yang dimaksudkan adalah politik berdasarkan hasrat rakyat, termasuklah;
1. Mengutamakan kepentingan rakyat.
2. Pemimpin dengan kelulusan pendidikan, pengalaman dan kemampuan sebenar.
3. Anti dan bebas rasuah.
4. Amanah dalam menjalankan tanggungjawab.
5. Tidak lompat parti dan setia dengan idealisme perjuangan.
6. Tidak sombong dan mesra rakyat.
7. Bebas daripada politik wang.
8. Politik dengan pemimpinnya berjiwa besar, berhikmah dan berwawasan.
9. Politik dengan pemimpinnya tabah, sabar dan istiqamah.
10. Politik yang menolak fitnah dan sumpah seranah.
Agenda bertindak
Pemimpin politik yang mahu menang dalam PRU 15 harus mendapatkan sejumlah pemimpin utama yang sedia membawa obor politik nilai.
Ķedua, parti-parti tersebut perlu membina pasukan ahli-ahli politik mendukung politik nilai melalui latihan dan bimbingan. Ketiga, mengaturkan siri-siri penerangan, seminar dan latihan dalam merakyatkan politik nilai sebagai arus perdana negara.
Sesungguhnya tugas ini amatlah berat. Namun ia suatu kemestian jika kita ingin menyelamatkan bangsa, negara dan ummah. Semoga Allah swt merahmati dan memberkati usaha ini.
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Presiden Persatuan Rapat Rakyat (RAPAT)
Comments