Malaysia perlu perbaharui kedudukan global, tangani permintaan gas asli
- Suara Keadilan
- Apr 8
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Malaysia perlu segera memperbaharui kedudukan globalnya dalam landskap tenaga serantau yang sedang berubah ketika negara ini diunjur akan berubah menjadi pengimport bersih gas asli cecair (LNG).
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, Malaysia yang dikenali sebagai pengeksport LNG kelima terbesar dunia kini mengalami kemerosotan rizab gas dengan pantas.
"Unjuran itu dibuat berasaskan corak penggunaan semasa dan unjuran rizab, dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
"Malaysia bakal berubah daripada pengeksport bersih kepada pengimport bersih LNG," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Rafizi berkata unjuran juga menunjukkan gas asli akan menyumbang sebanyak 56% daripada campuran tenaga negara menjelang 2050 sekali gus memainkan peranan penting dalam penjanaan tenaga dan pembangunan industri negara.
"Ini menjadikan gas asli bukan sekadar bahan api peralihan, tetapi destinasi bahan api untuk Malaysia," katanya.
Bagaimanapun, Rafizi berkata realiti yang harus dihadapi bersama ialah rizab gas asli negara sedang berkurang dengan pantas, khususnya di Semenanjung Malaysia iaitu -7% daripada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) dan Sabah (-4% CAGR).
"Hanya Sarawak mengekalkan bekalan yang stabil, menyumbang 59% daripada jumlah rizab negara," jelasnya.
Persoalan sekarang kata Rafizi ialah bagaimanakah negara dapat menyelesaikan ketidakseimbangan antara permintaan dan bekalan bahan bakar tersebut.
Selain itu, jelasnya kerajaan juga mahu meletakkan Malaysia sebagai hab gas asli utama ASEAN.
"Ini amat bertepatan dengan masa sekarang kerana ASEAN secara kolektif bakal menjadi pengimport bersih LNG menjelang 2027.
"Cabaran ini besar, namun saya percaya kedudukan geografi kita, sikap berkecuali dan kekuatan infrastruktur yang ada meletakkan Malaysia sebagai pesaing awal untuk mempamerkan kepimpinan dalam sektor ini," katanya.
Februari lalu, Rafizi mengumumkan bahawa Pelan Hala Tuju Gas Asli Kebangsaan akan dilancarkan tahun ini dengan mengambil beberapa langkah penting termasuk mengurangkan halangan kepada akses pihak ketiga dan mengukuhkan infrastruktur LNG negara.
Beliau berkata, langkah ke arah liberalisasi telah bermula di negara ini dengan Akta Bekalan Gas (Pindaan) 2016 yang memperkenalkan sistem akses pihak ketiga (TPA).
Dasar itu membenarkan akses adil kepada infrastruktur gas bagi menggalakkan persaingan serta meningkatkan keselamatan bekalan gas negara namun kemajuannya agak perlahan, jelas Rafizi.
Sehingga tahun lalu, hanya dua penghantaran LNG dilakukan oleh pihak ketiga.
Comentarios