
Kementerian Digital menyeru pemain industri semikonduktor untuk menjadikan kecerdasan buatan (AI) sebagai tunjang utama dalam operasi mereka.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, teknologi AI kini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan reka bentuk cip, mengoptimumkan proses fabrikasi wafer, serta memperbaiki pengurusan hasil dan pengesanan kecacatan.
Justeru penerapan teknologi AI bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan dalam era pendigitalan yang semakin pesat sekaligus memastikan daya saing negara dalam ekosistem global.
"AI bukan sekadar teknologi masa depan ia sedang membentuk industri kita hari ini.
"Jika kita mahu menjadi hab semikonduktor global yang dipacu AI, kita bukan sahaja perlu menerima teknologi ini tetapi membangunkannya sendiri.
"Malaysia perlu melahirkan lebih ramai pakar AI tempatan dalam industri semikonduktor dan membangunkan ekosistem AI yang kukuh," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran MSIA AI Nexus (MAIN) di sebuah hotel di George Town pada Sabtu.
Sementara itu menurut Gobind, kerajaan komited menyediakan persekitaran yang kondusif bagi mempercepatkan transformasi digital sektor semikonduktor melalui Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang berperanan sebagai pihak berkuasa pusat bagi memacu agenda AI negara.
"Kementerian Digital melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menumpukan kepada tiga inisiatif utama bagi mempercepatkan penggunaan AI dalam industri semikonduktor dengan pihaknya akan membantu syarikat komponen MAIN menembusi pasaran global seperti Brazil dan India melalui program GAIN MDEC.
"Kami juga akan menyokong projek bukti konsep dan perintis menerusi Inisiatif Global Testbed yang menyediakan syarikat luar dengan platform untuk menguji dan membangun dan mewujudkan teknologi serta produk baharu di Malaysia," tambahnya.
Dalam perkembangan sama Gobind memaklumkan, pemain industri semikonduktor di negara ini sudah memulakan bukti konsep (POC) dalam usaha menghasilkan cip sendiri berdasarkan AI.
Justeru dalam tempoh tiga bulan akan datang beliau berharap cip AI buatan Malaysia itu akan dapat dilancarkan.
Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik Industri Semikonduktor pada Rabu mengumumkan Malaysia akan menghasilkan cip berkemajuan tinggi yang akan direka, dikilangkan, diuji dan dipasang di sini, sebelum dipasarkan ke seluruh dunia.
Ia hasil perkongsian strategik yang dijalin antara Kerajaan Malaysia dan syarikat reka bentuk semikonduktor dan perisian yang berpangkalan di England, Arm Holdings Plc.
Comments