top of page

Malaysia perlu kerjasama negara Asia Timur, tangani isu kompleks



Malaysia perlu bekerjasama dengan blok negara di Asia Timur seperti Korea, Jepun dan China kerana ia mempunyai kaitan dari segi ekonomi dan strategik kepada negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Berucap di Seoul National University, Perdana Menteri menyatakan penglibatan Malaysia dengan negara terbabit membolehkan isu-isu yang rumit membabitkan seperti pendidikan, penyelidikan, kerjasama ketenteraan dan maritim dapat ditangani.


"Saya percaya kita akan teruskan lagi kerjasama ini. Saya yakin Presiden (Yoon Suk Yeol) pastinya akan menyokong bukan sahaja melalui Memorandum Persefahaman (MoU) malah dalam perbincangan yang lebih substantif, termasuk mengenai digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) untuk saling memberi manfaat.


"Saya percaya dalam bidang pencapaian akademik tertentu, kita pasti dapat memperoleh lebih banyak manfaat daripada Korea," katanya dalam syarahan bertajuk “Rakan Strategik dalam Dunia Kompleks: Malaysia, Korea dan Masa Depan Asia" hari ini.


Anwar menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Korea Selatan hari ini, yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan sempena meraikan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada 2025.


Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia turut menekankan tentang kerjasama dengan ASEAN memandangkan ia merupakan rantau ekonomi yang paling aman dan dinamik di dunia pada masa ini.


"Kerjasama dan hubungan kerja dalam kalangan pemimpin ASEAN adalah sangat baik. Saya boleh menghubungi mana-mana pemimpin (ASEAN) pada bila-bila masa dan mereka akan melayan kita seperti kawan sejati, kawan yang dipercayai. Apa yang kurang ialah adalah perdagangan intra ASEAN, dan juga pelaburan serta aktiviti ekonomi yang lebih rancak," katanya.


Dalam pada itu, Anwar menyatakan Malaysia telah menjalinkan hubungan erat dengan Korea Selatan selama lebih enam dekad tanpa sebarang isu atau kontroversi.


Beliau turut menghargai penghargaan Korea terhadap peranan yang dimainkan Malaysia ketika awal hubungan diplomatik tersebut dibina.


Anwar berkata beliau berasa amat tersentuh dengan kenyataan Presiden Yoon semalam mengenai hubungan antara kedua-dua negara pada masa lalu.


"Beliau (Presiden Yoon) berkata ketika fasa awal pemulihan semula Korea selepas berdekad-dekad mengalami pergolakan akibat perang saudara, Malaya ketika itu mengambil keputusan menyokong sebuah negara yang baru merdeka dengan cara sederhana, iaitu membantu membina sebuah jambatan kecil (di wilayah Paju) yang kini dikenali sebagai Jambatan Malaysia.


"Ia menyentuh hati saya, walaupun Korea kini mempunyai ekonomi yang hebat dan pembangunan teknologi perindustrian yang berjaya, presidennya menunjukkan kerendahan hati dengan mengakui peranan kami, Malaya (kini Malaysia), sebagai rakan sejati Korea. Sebab itulah saya percaya kita akan terus mengembangkan kerjasama ini," katanya.


Mengenai isu geopolitik, Anwar berkata Malaysia mengecam tindakan Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistiknya, perbuatan yang diangggap sebagai provokasi hingga menyebabkan ketidakstabilan di rantau ini selain ia tidak selari dengan nilai kemanusiaan.


Beliau berkata tindakan provokasi oleh Pyongyang boleh mengganggu keseluruhan proses untuk membawa keamanan di rantau ini dan menyebabkan ketidaktentuan yang lebih besar.


"...apa saja dasar, peluru berpandu, nuklear, mereka mahu miliki untuk diri sendiri. Ia adalah isu yang berbeza tapi apabila tindakan itu dianggap provokatif atau mencabar mana-mana negara lain, maka kita mengecamnya.


"Malaysia mengambil pendirian tegas. Kita mengecam provokasi oleh Korea Utara kerana ia tidak selaras dengan nilai yang kita terima, serta nilai kemanusiaan, aman dan kestabilan di rantau ini," katanya.


Baru-baru ini, kenyataan diketuai Amerika Syarikat (AS) yang disokong oleh 10 daripada 15 ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengutuk tindakan Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik antara benua dan menggesa Pyongyang kembali ke meja rundingan serta menghentikan ujian peluru berpandunya.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page