Oleh: Akmal Manaf
Tahun depan 2025 bakal menyaksikan Malaysia menerima tugas selaku Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat berkenaan bakal menampilkan kelainan.
''Ini adalah kali pertama ASEAN akan menganjurkan persidangan 10 negara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain, Kuwait dan China yang akan bersama.
''Jadi ini merupakan sejarah iaitu ASEAN meneroka kawasan baharu termasuk dunia Arab dan kerjasama dengan China.
''Ini hanya berlaku insya-Allah tahun depan permulaan bagi ASEAN selain meneruskan perjumpaan berikutnya dengan rakan dialog seperti China, Korea, Jepun, India, Australia, New Zealand, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat,'' katanya ketika Sesi Pertanyaan Menteri-Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
PM berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) menanyakan berhubung persiapan Malaysia dan hala tuju sebagai pengerusi ASEAN 2025 terutamanya dalam konteks ekonomi serta cabaran dalam geopolitik semasa.
Dalam pada itu, Anwar menzahirkan rasa optimis sekiranya kerjasama dapat dijalinkan dalam kalangan negara ASEAN.
''Tekanan kita terutamanya apabila mempengerusikan ASEAN kerana ia melibatkan hampir 700 juta penduduk dan lebih dua trilion dolar Amerika Syarikat (AS) kekuatan ekonomi di rantau tersebut.
''Kalau diikutkan potensi pada tahun 2023, pencapaian ASEAN adalah 3.8 trilion dolar AS dan nilai dagangan 3.5 trilion dolar AS.
''Jadi, jka kita boleh menjalin kerjasama seperti mana ditekankan oleh Gombak (Amirudin), maknanya keupayaan kita tentunya lebih meningkat kerana keutamaan kita adalah transformasi digital termasuk perjanjian rangka kerja ekonomi digital ASEAN,'' ujarnya lagi.
Comments