
Malaysia mengambil bahagian dalam memperkukuh kedudukannya sebagai gerbang inovasi masa depan dengan membuka pavilion di Mobile World Congress (MWC) 2025 di Barcelona, Sepanyol bermula pada 3 hingga 6 Mac.
Pavilion Malaysia membawakan pameran Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), serta peneraju industri termasuk DNB, CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile, YTL, Edotco dan MEASAT.
Pameran tersebut membuktikan peranan negara dalam memacu kemajuan melalui pelaksanaan 5G, infrastruktur digital, dan inovasi kolaboratif di ASEAN sekali gus menunjukkan komitmen negara dalam memacu transformasi digital, kata MCMC dalam kenyataan pada Selasa.
"Malaysia komited untuk membina ekosistem digital yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan rakan serantau.
"Pavilion Malaysia di MWC 2025 adalah bukti kemajuan serta visi kami untuk masa depan yang lebih berhubung, inovatif, dan mampan," kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi pada majlis perasmian Pavilion Malaysia itu.
MCMC berkata tarikan utama pavilion ini antaranya Pelan Infrastruktur Digital Nasional (JENDELA), yang telah melebihi jangkaan dengan menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada lebih 9.03 juta premis, mengatasi sasaran asal sebanyak 9 juta menjelang 2025.
"Satu lagi ciri utama ialah rangkaian terobosan 6-Way Multi-Operator Core Network (MOCN), yang pertama seumpamanya di ASEAN, bagi meningkatkan kesalinghubungan melalui perkongsian infrastruktur antara pengendali rangkaian mudah alih.
"Dengan menampilkan pencapaian kita di MWC 2025, Malaysia membuktikan bahawa kita bukan sahaja seiring dengan kemajuan global malah turut menyumbang inovasi berharga yang memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan masyarakat," tambah Mohamad Fauzi.
Menurut kenyataan MCMC, pengunjung ke Pavilion Malaysia boleh melihat pelbagai pameran kandungan yang memperlihatkan aplikasi kemajuan teknologi Malaysia dalam sektor utama seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, penyiaran, pembuatan, bandar pintar, dan kecerdasan buatan (AI).
"MCMC Nexus, alat analitik canggih, turut dipamerkan bagi menunjukkan bagaimana Malaysia meningkatkan prestasi rangkaian dan menyokong perancangan bandar yang lebih pintar.
"Pavilion ini memaparkan bagaimana teknologi 5G dan penyelesaian digital memacu kemajuan dalam pelbagai sektor, sekali gus menekankan pendekatan kolaboratif Malaysia dalam inovasi serantau," katanya.
コメント