Malaysia berharap New Zealand dapat menimbangkan kemungkinan melonggarkan kemasukan lebih ramai pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang baharu di negara itu, demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, perkara itu khususnya bagi program pascasiswazah dalam bidang baharu di mana New Zealand telah menunjukkan kepakarannya termasuk bidang berkaitan peralihan tenaga dan teknologi makanan.
"Kita juga berharap jumlah penerima Biasiswa Perdana Menteri New Zealand bagi Asia untuk belajar di institusi pengajian tinggi di Malaysia, agar dapat ditingkatkan.
"Pada masa yang sama kami juga ingin menjemput pelajar New Zealand untuk memohon Biasiswa Antarabangsa Malaysia dan menimba pengalaman mengenai kepelbagaian budaya dan warisan di negara ini," katanya dipetik Harian Metro dalam sidang media bersama dengan rakan sejawatannya Christopher Luxon, selepas mereka mengadakan mesyuarat dua hala di Putrajaya hari ini.
Luxon berada di Malaysia untuk lawatan rasmi tiga hari hingga esok untuk meningkatkan kerjasama dan perbincangan dua hala.
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2023.
Perdana Menteri berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Luxon mengenai Langkah untuk mengukuhkan hubungan yang telah lama terjalin dalam bidang-bidang yang digariskan dalam perkongsian strategik iaitu kemakmuran, rakyat, planet dan keamanan serta keselamatan.
Ia termasuk sektor perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pertanian, pendidikan, pertahanan dan keselamatan, dan sektor halal, kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Menyentuh tentang ASEAN, Anwar mengalu-alukan penglibatan aktif New Zealand yang berterusan dalam mekanisme yang diterajui ASEAN, dan amat menghargai sokongan tidak berbelah bahagi New Zealand terhadap Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada 2025.
Mengenai isu Israel-Palestin, Malaysia dan New Zealand menyatakan harapan untuk gencatan senjata di Gaza yang akan membawa kepada keamanan yang berkekalan dan mampan.
"Para pemimpin melahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap situasi kemanusiaan di Gaza. Aliran bantuan kemanusiaan yang pantas, besar-besaran, tanpa halangan dan berterusan ke Gaza amat diperlukan.
"Kedua-dua pemimpin juga menggesa gencatan senjata segera dan kekal. Ini adalah kewajipan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
"Malaysia mahupun New Zealand tidak mahu melihat konflik merebak ke rantau ini. Peningkatan permusuhan serantau baru-baru ini hanya menjadikan gencatan senjata di Gaza lebih mendesak. Perdana Menteri Luxon menggesa semua pihak untuk mengekang maksimum dan mengurangkan ketegangan," kata kenyataan bersama kedua-dua pemimpin itu.
Sementara itu Luxon menyifatkan Malaysia sebagai rakan Asia tertua New Zealand di mana kerjasama telah terjalin sejak dari Perang Dunia Kedua dan zaman insurgensi.
"Selaras dengan perkongsian strategik keseluruhan, Perdana Menteri Anwar dan saya hari ini telah bersetuju untuk menyuntik lebih banyak momentum ke dalam kerjasama kami dan sedang mengembangkan kerjasama pertahanan, termasuk dengan mengerahkan salah satu pasukan PA Poseidon baharu Tentera Udara New Zealand ke Butterworth untuk menjalani latihan bersama," katanya.
Beliau berkata pesawat P-8A Poseidon baharu Tentera Udara Diraja New Zealand akan meneruskan amalan jangka panjang pesawat peronda maritim New Zealand yang ditempatkan ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Butterworth sebagai sebahagian daripada latihan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) akan datang.
"Kami telah bersetuju dengan kerjasama baharu dan meningkatkan usaha membanteras jenayah rentas negara, memerangi keganasan dan menentang ekstremisme ganas," katanya.
Sehingga 2023, sebanyak 24 projek pelaburan oleh syarikat New Zealand telah diluluskan bernilai RM238.28 juta (US$79.9 juta); menjana 1,137 pekerjaan kepada tenaga kerja Malaysia.
Pada 2023, New Zealand merupakan rakan ke-28 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-22 terbesar dan sumber import ke-27 terbesar dalam kalangan negara-negara rantau Oceania dengan jumlah keseluruhan dagangan RM11.56 bilion (AS$2.54 bilion).
Comments