Datuk Seri Anwar Ibrahim memanfaatkan penampilan kali pertamanya pada Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 sebagai Perdana Menteri bagi memberikan penekanan kepada potensi besar ASEAN dalam perdagangan dan ekonomi global.
Beliau berkata pelbagai inisiatif dibangun bersama negara anggota menunjukkan kemajuan luar biasa terutama membabitkan ketersambungan serta digital untuk ASEAN.
"Ia sama ada berdagang secara intra (ASEAN) dan juga perdagangan sebagai sebuah kekuatan dengan Amerika Syarikat, China, Eropah dan BRICS.
"Kita menyatakan ASEAN dengan hampir 700 juta penduduk, mencatatkan pertumbuhan ekonomi paling pesat dan rantau yang lebih aman itu mempunyai potensi yang besar," kata beliau dipetik Bernama pada sidang media penutup sempena lawatan kerja beliau ke WEF 2025 di Davos, Switzerland.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ASEAN turut mahu memberi tumpuan kepada isu transisi tenaga selain isu seperti asas pendidikan, teknologi makanan, kesalinghubungan dan digital.
"Tumpuan kita selain asas pendidikan dan teknologi makanan adalah transisi tenaga - dengan grid dari Indochina, Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia ke Filipina. Ini suatu yang agak berlainan, satu kemajuan luar biasa," katanya.
Anwar menghadiri WEF 2025 buat kali pertama sebagai Perdana Menteri selepas mengambil alih pentadbiran pada 2022 atas jemputan Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah WEF Prof Klaus Schwab.
Lawatan kerja ke Davos merupakan destinasi terakhir dalam siri lawatan kerja beliau merangkumi empat negara iaitu Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom, Belgium dan terakhir di Switzerland.
"Kita bersyukur walaupun ini kali pertama saya hadir selaku Perdana Menteri, saya rasa layanan dan pengiktirafan (WEF) kepada negara sangat baik.
"Ini sama ada laluan yang diberikan pada sidang plenari (ASEAN) dan sidang serentak yang dihadiri menteri-menteri lain," kata beliau.
Comments