Gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang bermula Ahad ini merupakan peluang keemasan bagi Malaysia membantu membangukan semula negara yang musnah dibom tentera zionis itu.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, Malaysia seharusnya segera bergerak bersama Jepun yang sebelum ini bercadang membentuk kumpulan negara penyumbang ke arah pembangunan semula Palestin bagi memberi kehidupan baharu kepada rakyat tertindas di negara itu.
"Kerjasama kemanusiaan dengan negara majoriti bukan Muslim adalah sangat strategik.
"Ia menunjukkan bahawa krisis di Gaza adalah isu kemanusiaan, dan semua umat manusia perlu berganding bahu membangunkan Gaza sebagai simbolik mengembalikan kemanusiaan," katanya dalam kenyataan.
Bagi Dr Zulkifli, beliau secara peribadi pernah bertemu dengan rakan akademik dari negara matahari terbit itu dan berkata pandangan umum di negara berkenaan mengenai isu Palestin sudah jauh berbeza daripada beberapa dekad lalu.
Katanya, rata rata masyarakat Jepun menyokong Palestin yang ditindas Israel sejak lebih separuh abad.
"Pertemuan dengan sahabat saya, Profesor Emeritus Kosugi Yasushi beberapa bulan lalu mengesahkan bahawa naratif Gaza oleh masyarakat Jepun sudah berbeza.
"Ini berikutan krisis kemanusiaan yang telah disaksikan secara langsung oleh semua penduduk dunia.
"Komuniti di Jepun sudah sedar dan memahami isu sebenar di Gaza berbanding sebelum ini," katanya.
Sehubungan itu, Dr Zulkifli melihat ruang yang begitu besar untuk Malaysia menempatkan diri dalam isu Palestin sementelah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan seorang pembela nasib umat Palestin sejak 1970an lalu.
Selain itu, katanya, Malaysia juga boleh membela nasib rakyat tertindas di Myanmar selaku Kepengerusian ASEAN 2025.
"Malaysia Madani betul-betul mendunia. Amiin.
"Doakan Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia," katanya lagi.
Comments