
Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaru Israel ke atas Gaza yang telah meragut lebih 600 nyawa rakyat Palestin dalam tempoh tiga hari.
Susulan itu, kementerian Luar (Wisma Putra) menerusi kenyataannya pada Sabtu menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas untuk menghentikan pertumpahan darah dan genosid yang sedang berlaku di wilayah Palestin.
"Israel mesti dipaksa mematuhi undang-undang antarabangsa, menghormati resolusi PBB, dan kembali ke meja rundingan.
"Pembunuhan beramai-ramai dan jenayah genosid ini membuktikan keangkuhan rejim Zionis Israel yang terus mencabuli undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia, serta prinsip kemanusiaan sejagat," menurut Wisma Putra.
Menerusi kenyataan sama kementerian itu turut menyatakan bahawa serangan kejam itu bukan sahaja memburukkan krisis kemanusiaan di Gaza, malah menghancurkan usaha diplomatik ke arah perdamaian.
Serangan itu sekali lagi menunjukkan niat jahat Israel untuk menghapuskan rakyat Palestin tanpa belas ihsan, menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu Malaysia mengulangi ikrar untuk terus memperjuangkan penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.
"Malaysia akan terus memperhebat usaha diplomatik melalui kerjasama dengan OIC, Liga Arab, dan rakan antarabangsa bagi menamatkan konflik ini serta memperjuangkan penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara," tegas Wisma Putra.
Kommentare